KPDN Perkasa MyCC, Dewan Rakyat lulus pindaan Akta 712, 713

9 hours ago 6

PETALING JAYA – Dewan Rakyat secara rasminya meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Persaingan (Pindaan) 2026 (RUU 712) dan RUU Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026 (RUU 713).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, ia diluluskan selepas pembentangan bacaan kedua yang bermula pada 2 Julai dan disambung hari ini.

Menurutnya, langkah berkenaan merupakan agenda reformasi perundangan utama KPDN melalui Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk memperkasakan ekosistem persaingan sihat di Malaysia.

“Fokus pindaan RUU 712 adalah untuk melaksanakan penambahbaikan aspek kuasa penguatkuasaan dan penyiasatan MyCC termasuk pemerkasaan peruntukan untuk menangani amalan-amalan antipersaingan dengan efektif serta efisien.

“Kesemua pindaan ini juga menyasarkan perlindungan pasaran dan pengguna dapat diperluaskan, sekali gus membantu dalam menangani isu kos sara hidup rakyat. Secara keseluruhannya, 34 pindaan terlibat dengan 29 seksyen ditambah baik dan pengenalan kepada 5 seksyen baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, antara penambahbaikan di bawah RUU 712 adalah memperkemaskan definisi persatuan di bawah seksyen 2.

“Pindaan ini dirangka bagi mencegah dengan lebih efektif sebarang cubaan menyalahgunakan persatuan perusahaan sebagai wahana untuk bersekongkol bagi mewujudkan aktiviti kartel dalam pasaran.

“Menerusi penambahbaikan definisi ini, persatuan perusahaan kini perlu lebih cakna kepada batas yang telah ditetapkan oleh undang-undang dalam menjalankan aktiviti persatuan, sekali gus memastikan kefungsian persatuan dimanfaatkan untuk memajukan industri dan bukannya menjadi dalang kepada manipulasi pasaran,” katanya.

Beliau berkata, antara pengenalan 5 seksyen baharu di bawah pindaan RUU 712 adalah penetapan tindakan kesalahan jenayah terhadap mana-mana perusahaan yang tidak memberi kerjasama dalam pemberian maklumat kepada MyCC bagi tujuan kajian pasaran di bawah seksyen 11A.

Katanya, ketetapan baharu ini akan memastikan proses kajian pasaran dapat dilaksanakan secara tuntas, telus dan berpaksikan data yang tepat supaya manfaat kajian itu mencapai objektifnya.

“Selain itu, pengenalan seksyen 58A memberi kepastian untuk membolehkan Suruhanjaya memfailkan rayuan kepada Mahkamah Tinggi jika mana-mana keputusan di bawah seksyen 35, 39 dan 40 diketepikan oleh Tribunal Rayuan Persaingan.

“Seterusnya, bagi menyokong pelaksanaan berkesan pindaan RUU 712, pindaan terhadap RUU 713 turut dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, ini melibatkan 10 seksyen dengan penambahbaikan kepada 9 seksyen sedia ada dan pengenalan 1 seksyen baharu.

“Pindaan ini akan memperuntukkan kuasa Suruhanjaya yang lebih jelas dan pragmatik termasuk kuasa perwakilan untuk menjalankan fungsi-fungsi tertentu.

“Setelah mendapat kelulusan Dewan Rakyat, kedua-dua RUU ini dijadualkan untuk dibentangkan di peringkat Dewan Negara yang akan bersidang antara 20 Julai hingga 4 Ogos 2026,” katanya.

Sementara itu, Armizan berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus komited dalam memastikan pasaran domestik yang adil, mampan dan progresif demi melindungi kebajikan rakyat dan memelihara kestabilan ekonomi negara.

“KPDN akan terus komited memperkukuh agenda reformasi pasaran demi memastikan ekosistem perdagangan domestik kekal adil dan berintegriti.

“Pindaan akta ini diharapkan akan bertindak sebagai instrumen perundangan yang ampuh dalam memelihara kesejahteraan rakyat serta memacu kemampanan ekonomi negara secara menyeluruh,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |