Kota Madani tidak bazir duit rakyat – Dr. Zaliha

4 hours ago 3

PETALING JAYA – Pembinaan Kota Madani di Putrajaya melibatkan kos pembangunan sebanyak RM4 bilion tidak membazirkan duit rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, kos pembangunan Kota Madani ditanggung sepenuhnya oleh pemaju.

“Ini membazir duit rakyat? Tak betul. Ia dibangunkan melalui kerjasama awam-swasta dengan konsep BLMT (Build-Lease-Maintain-Transfer) oleh Putrajaya Holdings.

“Pemaju juga akan menanggung kos penyelenggaraan. Selepas 25 tahun, keseluruhan projek ini akan jadi milik kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr. Zaliha berkata, tanggapan Kota Madani akan menggantikan Putrajaya juga tidak benar kerana Kota Madani hanya sebahagian kecil dalam Putrajaya.

Jelas beliau, kawasan Kota Madani cuma seluas 102 ekar (41.28 hektar) iaitu 0.8 peratus daripada keseluruhan Putrajaya dan terletak di Presint 19.

Tambah beliau, Kota Madani perlu dibina kerana ia akan menyediakan 10,000 unit kuarters baharu untuk penjawat awam.

Kata beliau, lebih 17,000 permohonan kuarters yang belum dapat dipenuhi kerana kekurangan unit sedia ada ketika ini.

“Ini bukan soal kehendak, tapi soal keperluan,” katanya.

Beliau mejelaskan, nama Kota Madani bukan label politik, sebaliknya nilai tentang kemanusiaan, keseimbangan, keadilan dan kelestarian.

Katanya, Kota Madani dibangunkan selari dengan visi Bandar Chase iaitu bandar yang bersih, sihat, terkehadapan, selamat dan mesra alam.

“Ada juga elemen rendah karbon, jaringan hijau, mobiliti pintar dan teknologi terkini. Bagi saya, penjawat awam layak mendapat kemudahan perumahan yang baik.

“Putrajaya perlu terus diperkukuh sebagai kota tadbir urus yang inklusif dan berwawasan. Jangan terus kelirukan rakyat dengan naratif yang salah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |