Konflik Asia Barat: Penerbangan Batik Air ke Dubai patah balik KLIA

7 hours ago 5

PUTRAJAYA – Penerbangan Batik Air OD713 dari Kuala Lumpur ke Dubai diarahkan berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ekoran konflik yang tercetus di Asia Barat ketika ini.

Batik Air berkata, penerbangan itu tidak dapat meneruskan laluan yang dijadualkan berikutan gangguan berterusan di Asia Barat hingga menyebabkan penutupan ruang udara di Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada awal pagi tadi.

“Langkah berjaga-jaga itu diambil sepenuhnya selaras dengan nasihat keselamatan penerbangan antarabangsa dan sekatan laluan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkaitan.

“Keselamatan penumpang dan anak kapal kekal menjadi keutamaan utama Batik Air,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Susulan itu, semua penumpang yang terjejas telah diberikan bantuan yang sewajarnya sebaik tiba di KLIA termasuk penginapan hotel, makanan dan pengangkutan darat.

“Memandangkan penerbangan tersebut dibatalkan, penumpang terjejas diberikan pilihan sama ada membatalkan tempahan dengan bayaran balik penuh atau menempah semula penerbangan seterusnya yang tersedia.

“Sehingga hari ini, ruang udara Qatar dan UAE telah dibuka semula untuk operasi komersial, seterusnya membolehkan perkhidmatan penerbangan disambung semula melalui laluan yang terjejas.

“Batik Air akan menyambung semula operasi ke Dubai pada hari Rabu,” katanya.

Katanya, Batik Air terus memantau perkembangan geopolitik semasa dengan teliti dan kekal berkoordinasi rapat bersama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), pengawal selia antarabangsa serta penyedia perkhidmatan navigasi udara serantau.

“Pelan kontingensi dan penilaian laluan dinamik telah dilaksanakan bagi memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan operasi terus terjamin.

“Penumpang dengan jadual perjalanan yang akan datang dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat terkini melalui laman web rasmi Batik Air atau menghubungi pasukan khidmat pelanggan kami untuk bantuan dan pengaturan alternatif,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |