PETALING JAYA – Kolej Institut Jantung Negara (IJN) kini secara rasmi dinaik taraf sebagai Kolej Universiti IJN (IJNUC) selepas menerima kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada 13 Mei lalu.
Peningkatan status institusi tersebut dapat mengukuhkan lagi peranannya untuk melahirkan tenaga profesional dalam bidang kesihatan khususnya kardiovaskular.
IJN Holdings dalam satu kenyataan menyifatkan pencapaian tersebut penting dalam perkembangan institusi berkenaan serta kesediaannya melatih generasi profesional penjagaan kesihatan pada masa hadapan.
“Kolej IJN ditubuhkan pada 2008 dan menjadi asas bagi memenuhi permintaan Malaysia yang semakin banyak terhadap pendidikan khusus dalam bidang penjagaan kesihatan.
“Sebagai sebahagian daripada kumpulan IJN Holdings bersama IJN yang merupakan pusat rawatan jantung terkemuka negara dengan pengiktirafan di peringkat antarabangsa, institusi ini menawarkan latihan berdasarkan situasi sebenar yang dibimbing oleh pakar dan profesional penjagaan kesihatan terkenal,” katanya.
Tambahnya, IJNUC telah melahirkan lebih 600 graduan dalam pelbagai bidang sejak penubuhannya, termasuk lebih 400 graduan dalam program utama Sijil Siswazah Sains Kardiovaskular dan Torasik yang kini berkhidmat dalam sektor kesihatan tempatan dan antarabangsa.
Dalam pada itu, IJNUC kini menawarkan tiga program baharu yang telah diluluskan oleh Agensi Kelayakan Malaysia termasuk Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Kardiovaskular, Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan, dan Diploma Kejururawatan yang akan bermula pada pengambilan September tahun ini di kampus Yayasan Selangor, bersebelahan Hospital IJN di Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, IJNUC juga dalam perancangan untuk memperluas programnya ke peringkat ijazah sarjana dan kedoktoran dalam bidang seperti Pembedahan Kardiotorasik, Psikologi Kesihatan, dan Pengurusan Penjagaan Kesihatan, serta program perubatan pascasiswazah dalam bidang-bidang seperti kardiologi dan anestesiologi.
Institusi itu turut menawarkan pelbagai kursus pendek dan program pensijilan profesional seperti Sijil Pembantu Penjagaan Pesakit, Sijil Profesional Kejururawatan Jantung, dan latihan kecemasan seperti Sokongan Hidup Kardiovaskular Lanjutan (ACLS) dan Sokongan Hidup Asas (BLS).
“Pencapaian ini dilihat sebagai satu komitmen berterusan IJNUC dalam menyokong agenda nasional ke arah pendidikan penjagaan kesihatan yang lebih berkualiti, khusus dan boleh diakses oleh semua, sekali gus melahirkan generasi profesional perubatan yang bersedia mendepani cabaran masa hadapan,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE