PETALING JAYA – Beberapa klip video lakonan semula ibu Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf berhubung kehilangan kanak-kanak autism itu ditayangkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Klip video itu ditayang selepas Hakim Dr. Syahliza Warnoh menerima permohonan pihak pendakwaaan.
Bagaimanapun ketika permulaan video lakonan semula itu, ia dibantah pihak pembelaan mengikut Seksyen 113 Kanun Tatacara Jenayah.
Mendengar perkara itu, Hakim Syahliza serta-merta mengarahkan untuk menghentikan video tersebut.
“Selepas saya melihat video ini mengandungi ‘statement’ daripada pihak (tertuduh), untuk itu mahkamah akan menghentikan (tayangan) rakaman video ini. Ini bukan video lakonan semula yang statik, apa pun mahkamah akan membuat keputusan berdasarkan keseluruhan keterangan saksi (yang beri keterangan),” katanya.
Sebelum ini mahkamah diberitahu, sesi ‘reconstruct’ lakonan semula di lokasi kejadian telah dilakukan Ismanira susulan beberapa siasatan selain tangkapan yang dilakukan terhadap Ismanira dan suaminya Zaim Ikhwan Zahari pada 31 Mei 2024.
Perbicaraan bersambung lagi esok.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zubairi manakala peguam Haresh Mahadevan mewakili kedua-dua tertuduh.
Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Justeru, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE