Klinik STL cungkil bakat takraw Orang Asli

1 day ago 11

KUALA LUMPUR – Klinik Liga Sepak Takraw (STL) 2025 membuka tirai musim ini dengan penganjuran sesi pertamanya menyaksikan seramai 400 pelajar Orang Asli daripada suku Semai berumur antara 12 hingga 17 tahun menyertai program pembangunan bakat.

Inisiatif anjuran Astro Arena dan Astro Kasih  di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RPS Bertau, Kuala Lipis, Pahang itu turut melibatkan pelajar dari enam buah sekolah berhampiran bagi memupuk minat terhadap sukan sepak takraw kepada generasi muda. 

Klinik STL yang julung kali diadakan di Pahang itu bersempena pembukaan STL Divisyen 1 yang berlangsung dari 28 Mei hingga 1 Jun lalu di Stadium SUKPA, Kuantan.

Ketua Jurulatih Klinik STL, Mohd. Futra Abdul Ghani yang juga bekas perejam emas skuad kebangsaan berkata, pendedahan awal serta penguasaan kemahiran asas di peringkat sekolah amat penting dalam usaha melahirkan lebih ramai generasi pelapis sukan yang berkualiti. 

PELAPIS wanita dari SMK RPS Bertau menunjukkan kemahiran melibas bola sewaktu Klinik STL baru-baru ini.

“Antara kemahiran yang diajar dalam klinik ini termasuk kawalan bola, libasan, dan servis. Semua kemahiran ini amat penting bagi membentuk asas yang kukuh kepada pemain muda. 

“Diharapkan pendedahan awal ini akan menyemai minat dalam kalangan pelajar untuk mendalami sukan tradisional ini sejak di bangku sekolah lagi,” katanya. 

Menurutnya, pelaksanaan Klinik STL turut diperkuat melalui kerjasama erat dengan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) serta menyaksikan CelcomDigi tampil sebagai penaja utama memajukan ekosistem sukan tempatan dan melahirkan lebih ramai bakat baharu. 

Program itu turut mendapat pengiktirafan dan sokongan rasmi daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Selepas sesi pembukaan di Pahang, Klinik STL akan meneruskan jelajah ke negeri-negeri utama seperti Terengganu, Johor, Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang bermula bulan depan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |