PETALING JAYA – Perdana Menteri memaklumkan bahawa kesihatan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bertambah baik ketika ini.
Bagaimanapun kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, baginda tetap dipantau rapi oleh pasukan perubatan, termasuk penglibatan petugas kesihatan dari Malaysia.
Khabar tersebut dikongsi Anwar selepas menghubungi Sultan Brunei bagi bertanya khabar kesihatan Baginda susulan rawatan yang diterima di Malaysia baru-baru ini.
“Alhamdulillah, keadaan kesihatan Baginda dilaporkan bertambah baik setakat ini, dan terus dipantau rapi oleh pasukan perubatan, termasuk penglibatan petugas kesihatan dari Malaysia
“Baginda turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat cemerlang serta dedikasi pasukan perubatan Malaysia yang terlibat secara langsung dalam penjagaan kesihatan Baginda,”tulis Anwar di laman Facebooknya.
Pada hantaran sama, Anwar memberitahu kedua-dua pihak turut menyentuh perkembangan positif hubungan dua hala Malaysia dan Brunei yang kekal erat serta perkembangan semasa isu-isu rantau ASEAN yang terus berjalan dengan lancar dan konstruktif.
“Saya mendoakan agar Baginda Tuanku serta seluruh Keluarga Diraja Brunei sentiasa dikurniakan keafiatan, kesejahteraan dan berada di bawah lindungan Allah SWT,”katanya.
Pada 25 Mei lalu, Sultan Hassanal, 78 tahun, berangkat tiba di Kuala Lumpur untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bersama pemimpin-pemimpin ASEAN lain.
Namun, pada 27 Mei, Baginda dikhabarkan sedikit keletihan dan pakar kesihatan Malaysia telah menasihatkan untuk berehat selama beberapa hari di Institut Jantung Negara (IJN).
Selepas lima hari menerima rawatan di pusat perubatan berkenaan, Sultan Hassanal Bolkiah telah dibenarkan keluar dari IJN, namun dinasihatkan untuk berehat di Malaysia sebelum pulang ke Brunei.-KOSMO! ONLINE