KUALA LUMPUR – Industri penggalvanaan celup panas di negara ini masih boleh dikembangkan ketika tahap kesedaran mengenai penggunaannya masih rendah khususnya dalam kalangan pemaju dan jurutera.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, daripada kapasiti terpasang sebanyak 800,000 metrik tan setahun, hanya 60 peratus atau 480,000 tan digunakan sekali gus menjadikannya beroperasi di bawah keupayaan maksimum.
Katanya, industri itu memainkan peranan penting dalam pembangunan infrastruktur negara terutamanya dalam iklim tropika yang berdepan dengan kelembapan tinggi, hujan berterusan dan pendedahan pantai.
“Setakat ini, hanya 28 syarikat tempatan terlibat dalam aktiviti penggalvanaan dan ia masih boleh dikembangkan.
“Antara cabaran yang dihadapi termasuk kadar penggunaan produk bergalvani yang rendah dalam pasaran domestik serta kebergantungan yang semakin meningkat terhadap produk import,” katanya ketika berucap pada Persidangan Galvani Umum Asia Pasifik Kali Ke-13 di sini hari ini.
Menurut Ahmad, keadaan itu bukan sahaja memberi tekanan kepada pengeluar tempatan, malah menjejaskan pembangunan inovasi dan keupayaan tempatan.
Tambahnya, beberapa strategi telah dikenal pasti untuk merangsang pertumbuhan industri itu termasuk mempromosikan sumber dan rantaian nilai tempatan, insentif penggunaan produk bergalvani dalam projek-projek awam, serta menyokong perusahaan kecil dan sederhana melalui program pendigitalan, peningkatan kemahiran dan pembangunan kapasiti.
“JKR bekerjasama dengan Persatuan Penggalvanaan Malaysia (GAM) dalam menambah baik Klausa Standard 12.8 selain menyediakan program pensijilan dan latihan berstruktur untuk meningkatkan tahap kepakaran teknikal dan mengukuhkan keselamatan industri,” katanya.
Ujar Ahmad, kerjasama itu diteruskan untuk membangunkan spesifikasi piawai bagi keluli tetulang bergalvani untuk meningkatkan ketahanan, keselamatan dan prestasi jangka panjang infrastruktur kritikal negara.
“Ia dapat membentuk lapisan pelindung zink pada keluli, sekaligus melambatkan kakisan, mengurangkan penyelenggaraan dan memanjangkan jangka hayat struktur konkrit bertetulang dan membolehkan struktur kekal hingga 100 tahun,” katanya. -KOSMO! ONLINE.