HULU SELANGOR – Selepas beberapa kali tertangguh, kes anggota polis berpangkat Lans Koperal, Muhammad Alif Monjani yang didakwa membunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Majistret Nurul Izzah Hasan Basri memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan sudah mendapat izin untuk memindahkan kes bunuh itu dari Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan.
“Pohon untuk kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Eirene Nabila Amani Williams-Hunt.
Bagaimanapun, tarikh untuk sebutan kali pertama di mahkamah tinggi akan diputuskan kelak. Dalam prosiding hari ini, Muhammad Alif diwakili peguam Aida Jaafar.
Sebelum ini, mahkamah menangguhkan kes itu berikutan terdapat beberapa dokumen termasuk laporan kimia yang belum diperoleh.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Alif, 27, didakwa telah menyebabkan kematian Nur Farah Kartini , 26, di Ladang SKC, Kledang, Mukim Hulu Bernam antara pukul 9 pagi, 10 Julai hingga pukul 6 petang, 15 Julai 2024.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, media melaporkan Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai 204, selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan dan mayatnya dijumpai oleh pihak polis di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira pukul 6 petang.
Susulan itu seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak telah ditahan dan direman untuk membantu siasatan berkaitan kes terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE