PUTRAJAYA – Rata-rata rakyat Negeri di Bawah Bayu mahu inisiatif seperti Kerangka Sabah Maju Jaya (SMJ) diteruskan pada masa depan berikutan ia berjaya memberi limpahan kemewahan dan kesejahteraan kepada pengundi negeri itu.
Jika dilihat, teras hala tuju Pelan Pembangunan SMJ 2021-2025 yang diperkenalkan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah berjaya melonjakkan ekonomi Sabah ke tahap membanggakan, sekali gus memberi lebih manfaat kepada rakyat.
Dalam tempoh beberapa tahun pelaksanaan Kerangka SMJ, ekonomi Sabah berjaya merekodkan pertumbuhan memberangsangkan apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat daripada RM82.1 bilion pada tahun 2022 kepada RM83.2 bilion pada 2023.
Peningkatan itu turut disokong dengan unjuran RM84.9 bilion bagi 2024, seterusnya membuktikan negeri itu kini berada di landasan tepat.
Jika diimbas kembali, KDNK Sabah pada tahun 2020 hanya merekodkan RM77.8 bilion yang mana ketika ini Covid-19 sedang melanda negara sebelum mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.1 peratus dengan nilai RM78.7 bilion pada 2021.
Susulan itu, menurut salah seorang pengundi, Mohd. Nazllie Zainul, Kerangka SMJ perlu dikekalkan dan diperhebatkan pada masa depan selepas berjaya mempamerkan hala tuju pembangunan jelas dan menyeluruh untuk Sabah.
Katanya, kerangka itu yang memberi fokus kepada tiga teras utama iaitu pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kelestarian sumber dilihat relevan dengan keperluan semasa negeri.
“Ia bukan sahaja memberi manfaat jangka pendek seperti peluang pekerjaan dan peningkatan infrastruktur, tetapi berjaya merancang pembangunan mampan untuk masa depan.
“Penerusan dasar itu penting agar segala perancangan jangka panjang yang direncanakan sebelum ini dapat dilaksanakan dengan konsisten demi pembangunan ekonomi Sabah,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri juga perlu memberi tumpuan kepada elemen penambahbaikan kerangka berkenaan khususnya dalam aspek pelaksanaan di peringkat akar umbi.
Katanya, ia bagi memastikan tiada kawasan tercicir daripada arus pembangunan khususnya di bahagian pedalaman.
“Selain itu, sebagai pengundi saya percaya kesinambungan dasar yang baik seperti Kerangka SMJ adalah lebih penting daripada perubahan dasar yang kerap,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi pengundi, Mairinc Patrick berkata, pengekalan kerangka seperti SMJ bakal menjadikan Sabah setanding negeri maju lain dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk rakyat.
“Jika dilihat daripada aspek pembangunan infrastruktur, Kerangka SMJ telah mempercepatkan pembinaan jalan raya, jambatan dan kemudahan asas terutamanya di kawasan luar bandar.
“Pada masa sama, sektor pertanian dan industri makanan turut diperhebat, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar melalui latihan, bantuan modal dan pemasaran hasil.
“Ia secara langsung membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menjana ekonomi setempat,” katanya.
Selain itu, mengenai aspek sosial pula, katanya, SMJ turut memberi fokus kepada aspek pendidikan dan kebajikan dengan menyediakan biasiswa, bantuan persekolahan dan program latihan kemahiran untuk belia.
“Namun, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan terutamanya dalam aspek pelaksanaan dasar secara menyeluruh, pemantauan dan memastikan semua lapisan rakyat menerima manfaat secara saksama.
“Kerangka SMJ berjaya memberikan impak positif, namun pelaksanaan berterusan penting bagi memastikan manfaat menyeluruh dirasai seluruh rakyat Sabah,” katanya. -KOSMO! ONLINE