PUTRAJAYA – Apa hala tuju karier politik Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas ini? Itulah persoalan yang akan dirungkai hari ini sama ada beliau dibebas atau disabitkan atas empat pertuduhan berhubung dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di Mahkamah Persekutuan di sini hari ini.
Ini kerana berdasarkan perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan seseorang itu tidak layak menjadi calon pilihan raya sekiranya dijatuhi hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan di bawah peruntukan sama, seseorang wakil rakyat boleh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen sekiranya dijatuhi hukuman sama.
Hari ini merupakan keputusan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq yang akan diputuskan hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais yang turut bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Ia yang mana sama ada keputusan itu adalah sebulat suara atau majoriti 2-1.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.
Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Bekas Presiden Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Bagi kesalahan ini, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.
Sebelum ini, pihak pendakwaan telah memfailkan petisyen rayuan di Mahkamah Persekutuan dengan 28 alasan antaranya bagi mengembalikan semula sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi yang diketepikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan tersebut pada 25 Jun lalu.
Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan atas terhadap keempat-empat pertuduhan menerusi keputusan sebulat suara panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.
Syed Saddiq kini merupakan tunang kepada pelakon dan penyanyi, Bella Astillah yang mana mereka bertunang pada 28 Mac lalu.
Syed Saddiq berkata, ikatan antara mereka berdua tercetus atas kasih sayang terhadap permata hati Bella, Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna yang diharap dapat menerima kehadirannya. – KOSMO! ONLINE

17 hours ago
6

















































