Kepala air di Kedah ragut 12 nyawa, Sungai Sedim paling berisiko

1 day ago 11

ALOR SETAR – Sungai Sedim di Kulim dekat sini dikenal pasti sebagai lokasi paling kerap dilanda kepala air di Kedah apabila lima daripada 11 insiden yang direkodkan sejak 2024 sehingga kini berlaku di kawasan rekreasi tersebut.

Enam lagi kejadian kepala air berlaku di kawasan rekreasi Lubuk Kawah, Yan; Changlun; Lata Mengkuang, Sik; Lata Bayu dan Kampung Kuala Merah, Kuala Ketil di Baling serta Air Terjun Lubuk Semilang, Langkawi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata, daripada keseluruhan kejadian itu, seramai 12 mangsa disahkan meninggal dunia, manakala empat berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas pasukan penyelamat serta agensi berkaitan.

“Sungai Sedim mencatatkan jumlah kematian tertinggi akibat kepala air iaitu seramai tujuh orang dan masing-masing satu kematian di Kampung Kuala Merah, Lata Bayu, Lata Mengkuang, Air Terjun Lubuk Semeling dan Lubuk Kawah. Tiada kematian direkodkan di Changlun,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat JBPM Kedah, di sini hari ini.

Kata beliau, kejadian paling tragis berlaku pada Jumaat lalu di Sungai Sedim apabila tiga mangsa meninggal dunia dan tiga berjaya diselamatkan.

“Antara insiden lain yang turut mendapat perhatian ialah kejadian kepala air di Changlun pada 20 Julai tahun lalu yang menyebabkan beberapa mangsa terperangkap selepas laluan utama ke lokasi terputus sebelum operasi menyelamat dilaksanakan pihak bomba.” ujarnya.

Menurut beliau, berdasarkan rekod JBPM Kedah, kejadian kepala air direkodkan pada 27 Februari 2024 di Kampung Kuala Merah, Kuala Ketil; 13 Mei 2024 di Lata Bayu; 13 Oktober 2024 di Sungai Sedim dan 2 November 2024 di lokasi sama.

“Pada tahun 2025 pula, kejadian berlaku di Sungai Sedim pada 14 Jun, Changlun (20 Julai) dan Lata Mengkuang, Sik pada 16 September.

“Bagi tahun ini, empat kejadian direkodkan iaitu di Sungai Sedim pada 12 Januari, Air Terjun Lubuk Semeling (16 Januari), Lubuk Kawah (19 Jun) dan sekali lagi di Sungai Sedim pada 17 Julai lalu,” ujarnya.

Katanya, secara keseluruhan, sebanyak 39 lokasi berisiko kepala air dikenal pasti di seluruh Kedah dan lokasi lain antaranya Hutan Lipur Puncak Janing dan Air Terjun Sungai Seraya di Kuala Nerang; Air Terjun Telaga Tujuh dan Air Terjun Temurun di Langkawi serta Air Terjun Bukit Hijau, Air Panas Ulu Legong, Lata Celak Simpoi dan Lubuk Badak di Baling.

“Daerah Baling merekodkan bilangan tertinggi iaitu sembilan lokasi berikutan bentuk muka bumi yang berbukit, mempunyai gunung, jeram, air terjun dan sungai yang terdedah kepada fenomena berkenaan terutama ketika hujan lebat di kawasan hulu,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, tragedi di Sungai Sedim pada Jumaat lalu sukar diramal kerana keadaan cuaca di lokasi rekreasi itu ketika kejadian kelihatan baik.

“Jika memang ada petanda-petanda awal seperti air keruh, ada kayu-kayu hanyut, boleh kita jangka akan berlaku kepala air. Namun semasa tragedi baru-baru ini dikatakan tiada petunjuk jelas menyebabkan ia sukar dijangka,” katanya.

Tambahnya, pihak pengusaha kawasan rekreasi dan komuniti setempat juga disaran memainkan peranan lebih aktif dengan mengeluarkan amaran awal kepada pengunjung terutama jika berlaku hujan lebat di kawasan hulu.

“Kita difahamkan, terdapat pasukan yang diwujudkan penduduk dan komuniti pelancongan di situ bagi memberikan amaran sekiranya ada kecemasan atau risiko berlaku kepala air. Jadi, bomba akan membantu mereka dengan mewujudkan bomba komuniti termasuk memberi latihan menyelamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |