Kemarau 34 Tahun terus berpanjangan, Malaysia gagal libas Thailand

5 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Harapan skuad negara untuk menamatkan kemarau 34 tahun dalam acara regu berpasukan terus berterusan apabila tewas 0-2 kepada musuh tradisi, Thailand dalam aksi final Piala Asia Kuala Lumpur 2025, sebentar tadi.

Kekalahan itu sekali gus meleburkan impian Malaysia untuk merangkul kejuaraan kali pertama dalam acara berpasukan sejak kali terakhir muncul juara pada Sukan SEA Manila 1991.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Titiwangsa itu, Malaysia turun dengan aksi goyah menerusi regu pertama yang dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong), Mohamad Azlan Alias (perejam) dan Amirul Zazwan Amir (pengumpan).

Thailand yang menurunkan Jakkrit Thinbangbon, Sutthikiart Panseankaew dan Wuttinun Kamsanor pada aksi pertama mengekalkan aksi cukup baik dan berjaya mengekang kebangkitan trio Malaysia menerusi kemenangan 15-11, 12-15, 17-15.

Pada perlawanan tersebut, tekong negara, Syahir turut bergelut dengan servis apabila lima kali bola kandas di jaring pada set pertama selain siri kecederaan menimpa Azlan menjejaskan rentak pasukan dalam aksi yang berlangsung lebih dua jam itu.

Langkah Malaysia untuk mencari mata kemenangan tidak berhasil apabila regu kedua negara turut gagal untuk mengekang kebangkitan skuad Gajah Perang tersebut.

Trio negara, Muhammad Haziq Hairul Nizam, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Farhan Adam tumpas 15-13, 13-15, 4-15 kepada skuad Thailand yang dibarisi Sittipong Kamchan, Tanaphon Sapyen dan Sirisak Anuloon.

Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun akur dengan kekalahan tersebut namun tetap memuji semangat juang tinggi yang ditampilkan anak buahnya.

“Kita bermula baik, tetapi Thailand lebih konsisten pada perlawanan ini. Pemain sudah beri yang terbaik, cuma ada beberapa kelemahan yang perlu kita baiki segera.

“Kita ambil kekalahan ini sebagai pengajaran dan motivasi untuk terus bekerja keras. Saya harap pemain melakukan persiapan menjelang kejohanan lebih besar seperti Piala Raja Thai dan Sukan SEA,” katanya.

Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada skuad negara pada edisi sulung Piala Asia 2025 apabila berjaya menjuarai acara kuadran dan bergelar naib juara dalam acara beregu. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |