Keluang Man layak jadi superhero kesayangan

1 day ago 7

PENGHASILAN naskhah adaptasi daripada animasi kegilaan ramai sekitar awal tahun 2000, Keluang Man ke layar lebar, boleh dikatakan satu percubaan berani mati yang dilakukan pengarah, Anwari Ashraf.

Sedar jangkaan dan harapan yang tinggi daripada peminat sejak dari awal pembikinan, Anwari menegaskan Keluang Man versinya tidak terikat dengan jalan cerita asal.

Menurutnya, tiada formula wajib yang diikuti bahkan hanya bermain dengan eksperimen sendiri dalam naskhah bergenre aksi komedi tersebut.

“Saya tahu ramai meletakkan jangkaan yang tinggi untuk filem ini tetapi untuk generasi yang membesar dengan Keluang Man, mungkin bagi mereka tidak puas, namun sekurang-kurangnya saya mahu bawa jiwa karakter Borhan kepada penonton.

“Untuk pastikan generasi baharu rasa ‘dekat’ dengan filem ini, kami mengetengahkan fahaman pasca modenisasi yang menolak naratif kebiasaan dalam dunia perfileman.

“Disebabkan tidak terlalu terikat dengan karya asal, filem ini berdiri sendiri dan mengetengahkan banyak elemen baru dengan harapan dapat ‘connect’ dengan generasi muda,” katanya pada malam gala Keluang Man, baru-baru ini.

Anwari juga bersyukur anak tempatan diberi peluang untuk menghasilkan kostum Keluang Man yang dipakai Nas-T dalam filem tersebut.

“Awalnya saya ada rasa sayang apabila nak serahkan tugas buat kostum kepada pereka negara luar tetapi akhirnya kita patah balik kepada anak tempatan. Rasa sangat lega.

“Begitu juga dengan kesan khas (VFX) yang kami buat, hasilnya tidaklah sempurna atau hebat tetapi sebagai pemain dalam sebuah industri yang takut buat salah, saya okey dan banyak belajar untuk dapatkan hasil begini,” katanya lagi.

Berkongsi tentang pengalaman bekerja bersama Nas-T, Anwari mendedahkan pelakon itu memiliki sisi humor yang jarang dipertonton kepada umum dan Keluang Man berjaya mencungkil karakter tersebut.

“Dari segi komedi, Nas-T dalam filem berjaya membuka mata banyak pihak bahawa dia individu yang kelakar.

“Shweta Sekhon yang banyak babak dengan Nas-T pun beberapa kali ‘break character’ sebab tak tahan gelak. Komitmen dia untuk filem ini sangat bagus,” ujarnya.

Anwari yang juga pengarah drama bersiri popular, Projek: High Council itu hanya berharap mesej dalam naskhah yang mengangkat karakter superhero kesayangan ramai itu diterima baik.

“Keluang Man adalah ‘surat cinta’ kepada generasi yang membesar pada sekitar 1990-an. Saya yakin ramai yang menantikan untuk menyaksikan superhero original pertama Malaysia ini diangkat ke versi ‘live-action’.

“Ini bukanlah sebuah ‘remake’, tetapi mengangkat semula ikon kebanggaan negara. Harap rakyat Malaysia sambut dan terima ‘surat cinta’ ini,” jelasnya.

Nas-T sempurna

Sementara itu, Datuk Rosyam Nor yang memegang watak Ahmad pula menyifatkan Keluang Man sebagai naskhah luar biasa kerana dibina atas kesungguhan barisan produksi yang berusaha keras sepanjang proses pembikinan.

“Barisan pelakon dalam filem ini dapat menterjemahkan setiap watak dengan baik di atas bantuan ‘wardrobe’, prop dan pastinya jalan cerita yang hebat.

“Banyak elemen menarik diselitkan, kemudian kalau orang kata banyak VFX tak sempurna, saya okey dan suka sebenarnya. Naskhah ini digarap dari drama animasi, jadi sesuailah begitu.

“Kalau setiap kesan khas nampak terlalu ‘real’, tak ‘best’ juga,” jelasnya.

Mengulas pemilihan Nas-T sebagai Keluang Man yang sebelum ini banyak menerima kritikan dan pandangan negatif, Rosyam yakin aktor itu pilihan tepat.

“Ketika dia dipilih untuk watak ini, saya sudah cakap Nas-T memang sempurna.

“Walaupun dia jarang nampak di layar lebar, Keluang Man adalah naskhah terbaik daripada Nas-T. Dia berjaya buktikan kemampuan sebagai pelakon hebat,” tuturnya.

Selain Nas-T, Shweta dan Rosyam, filem yang menelan belanja sebanyak RM13 juta itu turut membariskan Datuk Remy Ishak, Halim Othman dan Anwaar Beg Moghal.
Keluang Man bakal menjengah pawagam bermula 29 Mei.

Read Entire Article
Pertanian | | | |