SEKTOR sukan pendidikan negara melakar sejarah baharu apabila sebuah institusi pengajian tinggi tempatan berjaya buat pertama kalinya mara ke pentas dunia menerusi sukan sorak atau cheerleading.
Pasukan sorak dari sebuah universiti swasta iaitu Universiti Sunway baru-baru ini membawa cabaran negara di kejohanan FISU World University Championship Cheerleading (Kejohanan Sukan Sorak Universiti Dunia FISU) 2026 di Gothenburg, Sweden.
Pasukan Sorak Universiti Sunway (SUC) menjadi bualan apabila mereka hadir sebagai wakil pertama dalam sejarah Malaysia bagi sukan sorak ke kejohanan berprestij tersebut.
Malah, lebih mengejutkan apabila pasukan ini terus mengharumkan nama negara apabila membawa pulang pingat perak selaku naib juara pada penampilan sulung mereka.
Selaku Presiden Pasukan SUC, Nicholas Low Kah Hung menyifatkan kejayaan di pentas dunia ini sebagai satu pencapaian yang luar biasa.
Kejayaan bermakna ini diraih selepas mereka yang baru pertama kali merasai pertandingan di peringkat global tersebut berjaya mengumpul mata akhir sebanyak 71.96 mata dalam kategori Coed Elite Division (Bahagian Elit Campuran).
Sehubungan itu, Nicholas mendedahkan latihan intensif dan strategi persembahan sebenarnya telah mula dirangka pada awal Disember tahun lalu demi memastikan mereka bersedia sepenuhnya membawa nama Malaysia buat kali pertama.
Menurut Nicholas, menggalas dua tanggungjawab serentak sebagai mahasiswa sepenuh masa dan atlet elit memerlukan pengorbanan serta disiplin yang amat tinggi daripada setiap ahli pasukan yang terlibat.
“Persiapan kami telah bermula sejak bulan Disember tahun lalu, jadi saya boleh katakan pasukan kami ini telah meluangkan masa sekitar enam bulan menjalani latihan untuk kejohanan ini.
“Dengan setiap daripada kami memegang status sebagai pelajar dan atlet pada masa yang sama, pengurusan masa dan perancangan awal memainkan peranan yang sangat besar di antara latihan dan pengajian akademik,” kongsi Nicholas kepada K-Kampus.
Universiti Sunway merupakan sebuah universiti yang terletak di Bandar Sunway, Selangor. Keputusan rasmi menyaksikan Malaysia selaku sandaran sulung negara berada tepat di belakang pasukan China yang membawa pulang pingat emas selepas memperlihatkan aksi yang hampir sempurna.
Bagaimanapun, apa yang mencuri tumpuan adalah keupayaan anak muda dari Universiti Sunway ini berjaya menumbangkan negara-negara gergasi yang telah mendominasi sukan sorak global sejak sekian lama.
Skuad negara yang pertama kalinya membuat kemunculan berjaya meninggalkan pasukan Brazil di tempat ketiga, manakala Hungary menduduki kedudukan keempat keseluruhan.
Lebih membanggakan, pasukan tuan rumah iaitu Sweden yang mendapat sokongan padu oleh penyokong sendiri juga terpaksa akur dengan kehebatan wakil tunggal Malaysia ini apabila berada di tangga kelima.
Pasukan SUC ketika melakukan aksi di Kejohanan Sukan Sorak Universiti Dunia FISU 2026 di Gothernburg, Sweden.Sebanyak 16 negara bertanding dalam kejohanan tersebut yang dianjurkan secara bersama oleh Persekutuan Sukan Universiti Sweden dan Persekutuan Sukan Sorak Sweden dengan kerjasama erat daripada agensi Gothenburg & Co.
Di bawah naungan Persekutuan Sukan Universiti Antarabangsa (FISU), kejohanan yang berlangsung dari 5 hingga 7 Jun lalu itu menjadi medan ekspresi kecemerlangan mental dan fizikal mahasiswa di seluruh dunia.
Menariknya, di sebalik kejituan aksi yang dipamerkan di atas gelanggang, skuad SUC ini bukan sebuah pasukan yang datang daripada fakulti atau program pengajian sukan yang sama atau khusus.
Kepelbagaian pelajar daripada kursus yang berbeza ini memerlukan tahap keserasian, tolak ansur dan komunikasi yang sangat tinggi untuk membentuk satu unit yang harmoni.
Bagaimanapun, segala perbezaan itu berjaya dileburkan apabila kesemua mereka disatukan di bawah satu kontinjen rasmi demi menggalas misi negara.
“Kesemua atlet kami terdiri daripada pelbagai pelajar universiti di serata Sunway University yang mempelajari kursus-kursus yang berbeza.
“Bagi kejohanan ini, seramai 22 orang atlet dan dua orang jurulatih telah terbang ke Sweden, di mana secara teknikalnya jurulatih kami juga bertindak selaku pengurus pasukan kami,” ulas Nicholas.
Dalam pada itu, Nicholas berkata, pasukan mereka ini bukan sahaja perlu berhadapan dengan tekanan pertandingan menentang pasukan dunia yang lain tetapi juga terpaksa mengharungi cabaran penyesuaian persekitaran yang drastik.
“Saya boleh katakan cabaran paling sukar semasa bertanding di Sweden adalah perubahan persekitaran.
“Kami terpaksa membiasakan diri dengan cuaca yang sejuk kerana di Malaysia cuacanya sangat berbeza,” kata Nicholas yang mengimbas kembali cabaran unik yang terpaksa ditempuh oleh pasukannya sepanjang di sana.
Suhu dingin di dalam dan di luar dewan pertandingan memerlukan para atlet melakukan sesi memanaskan badan dengan lebih lama bagi mengelakkan kekejangan otot sebelum giliran wakil Malaysia ini tiba.
Namun, segala kepayahan dan fasa sukar itu berbaloi apabila rutin persembahan mereka berjaya memukau pandangan serta memikat hati barisan juri antarabangsa dalam percubaan pertama negara.
Apabila ditanya mengenai faktor teknik yang membolehkan Malaysia memintas negara hebat seperti Brazil dan Sweden pada penampilan sulung, Nicholas menegaskan ia bergantung kepada tahap kesempurnaan dan kerja berpasukan.
“Pada pandangan saya, kemahiran yang kami lakukan, bagaimana kami melaksanakannya dan betapa clean (bersih) kami melakukan stunts (aksi lambungan) serta tumbling (gulingan) adalah faktor utama yang membezakan kami daripada pasukan gergasi lain.
“Selain itu, semangat kerja berpasukan juga yang telah membantu kami memperoleh kedudukan tempat kedua dalam pertandingan ini,” jelasnya lagi.
Setiap formasi yang dibina di udara dilakukan dengan penuh berhati-hati, mempamerkan tahap imbangan yang tinggi dan pendaratan yang sangat kemas tanpa sebarang cela.
Kejayaan membawa pulang trofi naib juara sebagai wakil pertama Malaysia ini bukan sahaja memperkukuh nama negara, malah berfungsi sebagai pencetus inspirasi kepada generasi atlet akan datang.
Nicholas melihat pencapaian sulung yang luar biasa ini sebagai batu loncatan yang besar untuk mengubah landskap, persepsi dan stereotaip masyarakat tempatan terhadap sukan sorak agar dipandang sebagai sukan olahraga yang serius.
“Saya boleh katakan matlamat kami yang seterusnya untuk pasukan SUC ini adalah untuk mempengaruhi lebih ramai atlet muda bagi menceburi sukan ini.
“Sebagai sebuah pasukan, kami menyasarkan untuk mencapai tahap yang lebih tinggi dan kembali dengan lebih kuat dalam lebih banyak pertandingan antarabangsa yang akan datang.
“Kami mahu membuktikan bahawa Malaysia boleh bersaing secara konsisten dengan yang terbaik di dunia dan meletakkan diri kami sebagai salah satu pasukan terkemuka di peringkat antarabangsa,” katanya menutup bicara. dengan penuh semangat.

16 hours ago
8










![[VIDEO] Tikam pelajar: Bunyi orang jerit, wisel ingatkan kebakaran – Saksi](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/WhatsApp-Image-2026-07-06-at-5.15.22-PM.jpeg)





























![[VIDEO] Siapa ‘kait’ seluar dalam orang di Jempol?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-10-at-9.27.15-PM.jpeg)








![[VIDEO] 5 makanan perlu dielakkan di bazar Ramadan, air manis ‘no.1’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-09-at-6.45.16-PM.jpeg)