KUALA LUMPUR – Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN (AMM) hari ini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pembinaan Komuniti ASEAN, termasuk taklimat oleh Sekretariat ASEAN mengenai perkembangan berkaitan Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (Treaty of Amity and Cooperation in Southeast Asia – TAC).
Wisma Putra dalam kenyataan berkata, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan itu turut membincangkan susulan terhadap Kajian Pemimpin-Pemimpin ASEAN mengenai Konsensus Lima Perkara mengenai Myanmar.
“Selain itu, Mesyuarat ini akan menyentuh mengenai keterlibatan ASEAN dengan rakan luar di bawah agenda Hubungan Luar ASEAN, serta mengadakan perbincangan mengenai keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN.
“Termasuk penerimaan garis panduan bagi pematuhan Timor-Leste terhadap instrumen undang-undang ASEAN di bawah kerangka Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN,” katanya.
AMM hari ini berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sebagai persediaan penting menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN–Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN–GCC–China yang dijadual berlangsung pada 26 hingga 27 Mei 2025.
Ia tertumpu kepada pelbagai isu serantau dan antarabangsa selaras dengan tema Pengerusi ASEAN Malaysia tahun ini iaitu ‘ASEAN 2025: Keterangkuman dan Kemampanan.’
Menurut Wisma Putra, hasil perbincangan dalam mesyuarat ini akan menjadi asas kepada pertemuan-pertemuan penting pada Sidang Kemuncak ASEAN dan sidang-sidang berkaitan yang bakal berlangsung esok.
“Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, kekal komited dalam memajukan Komuniti
ASEAN yang bersatu padu, inklusif dan berpandangan jauh, yang responsif terhadap keperluan rakyat serta berdaya tahan menghadapi cabaran serantau dan global,” jelas kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE