SHAH ALAM – KDEB Waste Management (KDEBWM) Sdn. Bhd. telah menjelaskan sebanyak 13,000 saman tertunggak setakat hari ini.
Jabatan Media dan Perhubungan Awam KDEBWM berkata, tindakan segera itu dilakukan selepas melakukan semakan dalaman dan menyelesaikan saman secara berperingkat selepas menerima notifikasi rasmi berhubung saman berkenaan.
Katanya, berdasarkan prosedur Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) notis akan dikeluarkan kepada pemilik berdaftar KDEBWM sekiranya saman tidak dijelaskan dalam tempoh tiga bulan.
Katanya, ia juga dengan tambahan dua bulan lagi untuk penyelesaian (selepas menerima notis berkenaan).
“Sebaik menerima notifikasi rasmi, KDEBWM telah mengambil tindakan segera dengan membuat semakan dalaman dan menyelesaikan saman secara berperingkat.
“Setakat hari ini, sebanyak 13,000 saman telah berjaya diselesaikan pihak kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, KDEBWM mengoperasikan lebih 1,500 unit kenderaan termasuk lori kompaktor dan tong sampah pukal di seluruh Selangor.
Jelasnya, operasi dijalankan setiap hari tanpa henti termasuk hujung minggu dan cuti umum bagi memastikan tahap kebersihan dan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.
“Dalam konteks skala operasi besar ini, sebarang statistik berkaitan jumlah saman perlu diteliti dengan holistik.
“Sebagai contoh, dua saman bagi lori sehari boleh menjana hampir 3,000 saman dalam sebulan dan melebihi 9,000 saman dalam tempoh tiga bulan jika melibatkan ratusan kenderaan aktif setiap hari,” katanya.
Tegasnya, majoriti kenderaan KDEBWM dikendalikan syarikat-syarikat subkontraktor yang dilantik secara rasmi dan sah.
“Mengikut kontrak, setiap subkontraktor bertanggungjawab terhadap sebarang saman dikeluarkan terhadap kenderaan atau pemandu dibawah kendalian mereka.
“Walau bagaimanapun, kami mengakui berlaku kelemahan dalam penyampaian maklumat oleh sebilangan kecil subkontraktor yang menyebabkan notifikasi saman tidak sampai kepada kami dalam tempoh ditetapkan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, KDEBWM amat menghargai peranan dan tanggungjawab JPJ dalam memastikan keselamatan jalan raya.
“Kami ingin menyatakan komitmen penuh dalam memperkukuhkan sistem pemantauan dalaman, memperkemas komunikasi dengan subkontraktor serta memastikan pematuhan undang-undang jalan raya dilaksanakan secara konsisten dan berintegriti,” katanya.
Terdahulu Kosmo! Online melaporkan, berdasarkan statistik dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan menunjukkan syarikat pengendali kenderaan barangan, KDEBWM Sdn. Bhd. mencatatkan saman aktif tertinggi berjumlah 22,017.
Bagi syarikat pengendali bas ekspres, Cepat Ekspres Sdn. Bhd. pula, merupakan syarikat yang merekodkan saman aktif tertinggi berjumlah 540 saman. – KOSMO! ONLINE