PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) optimis sasaran 70 peratus atlet negara menamatkan saingan di podium pada Sukan SEA 2027 mampu direalisasikan berdasarkan persiapan rapi yang sedang digerakkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, sasaran tersebut bukan dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya berpandukan analisis prestasi serta perancangan menyeluruh bagi memastikan setiap atlet menerima sokongan terbaik menjelang temasya dwitahunan itu.
“Saya yakin, percaya dan sangat optimis dengan apa yang disebut oleh pihak MSN. Kita tidak hanya bercakap tanpa ada apa-apa dasar ataupun asas.
“Kita mesti ada data yang tepat dan saya telah melihat sendiri bagaimana gerak kerja MSN untuk memastikan setiap atlet kita dilengkapi dengan semua aspek bagi mencapai sasaran 70 peratus podium yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan logo, maskot dan tema rasmi Sukan SEA Ke-34 serta Sukan Para ASEAN Ke-14 2027 di IOI City Mall, Putrajaya hari ini.

MASKOT rasmi Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 2027, ‘TUAH’ diperkenalkan pada Majlis Peluncuran Logo, Maskot dan Tema Rasmi temasya berkenaan di IOI City Mall, Putrajaya, hari ini. – KBS
Tambah beliau, persiapan atlet turut dipantau secara berkala menerusi mesyuarat serta pelaksanaan program latihan mengikut fasa bagi memastikan mereka berada pada tahap terbaik menjelang temasya yang akan berlangsung tahun depan.
“Mesyuarat diadakan secara berkala dan persediaan juga dibuat mengikut fasa. Sebab itu kita sangat yakin dan optimis sasaran tersebut mampu dicapai, insya-Allah,” ujarnya.
Mengulas mengenai persiapan fasiliti, Taufiq menjelaskan Malaysia kini hampir bersedia sepenuhnya, dengan hanya beberapa perkara teknikal dan penentuan jumlah acara yang masih diperincikan.
Katanya, bagi kluster Kuala Lumpur tidak melibatkan pembinaan infrastruktur berskala besar, manakala Sarawak melaksanakan beberapa projek baharu yang kini berjalan mengikut jadual.
“Dari segi fasiliti, kita memang sudah cukup bersedia untuk penganjuran kali ini. Saya juga sudah membuat lawatan ke Sarawak dan walaupun masih dalam proses pembinaan, semuanya berjalan dengan baik serta mengikut jadual yang ditetapkan.
“Jadi tiada isu berhubung fasiliti. Sekarang ini kita memberi tumpuan kepada perkara-perkara teknikal supaya semuanya berjalan mengikut garis masa yang telah ditetapkan,” katanya.
Pada majlis sama, KBS turut memperkenalkan identiti rasmi Sukan SEA 2027 yang menyaksikan maskot TUAH, logo baharu serta tema Raikan Perpaduan (Celebrating Unity) dilancarkan sebagai simbol semangat kebersamaan dan perpaduan negara menjelang temasya terbesar Asia Tenggara itu.
Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA Ke-34 dari 18 hingga 29 September 2027, manakala Sukan Para ASEAN Ke-14 dijadual berlangsung pada 17 hingga 23 Oktober 2027, melibatkan kluster pertandingan di Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor. KOSMO! ONLINE

11 hours ago
4















































