KBS bukan mahu menghukum tetapi mahu bantu

13 hours ago 5

PETALING JAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus komi­ted dalam memperkasa golongan muda menerusi Program Advokasi Belia mengenai penyalahgunaan dadah.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, usaha ini dilaksanakan menerusi pelbagai saluran termasuk Rakan Muda, soko­ngan perubatan dan kerjasama strategik pelbagai pihak seperti Agensi Antidadah Kebangsaan untuk ­menyediakan bimbingan kepada belia, khususnya yang berdepan masalah ketagihan dadah.

Sehubungan itu, katanya, belia yang mempunyai masalah berkaitan penggunaan dadah tidak perlu gusar untuk tampil ke hadapan untuk mendapatkan bantuan kerana mereka tidak akan ditangkap, sebaliknya dirawat supaya pulih sepenuhnya daripada bahan terlarang itu.

“Kita bukan mahu menghukum kerana mereka masih muda, namun kita mahu ambil pendekatan untuk membantu.

“Usaha ini juga adalah untuk memperkasakan penjaga termasuk ibu bapa. Sekiranya rakan sebaya dan ahli keluarga melihat simptom (penyalahgunaan dadah), mereka boleh hubungi pihak berkaitan untuk dapatkan bantuan dan rawatan,” katanya baru-baru ini.

KBS melancarkan inisiatif Belia Bebas Dadah pada 21 April lalu bagi meningkatkan kesedaran terhadap penggunaan bahan terlarang itu.

Menurut Hannah, usaha itu selari dengan prinsip Kerajaan Madani yang sentiasa mengutamakan ke­sejahteraan belia untuk melahirkan lebih ramai golongan muda yang bersih dan bebas daripada gejala sosial.

Berdasarkan data daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL), hampir 50 peratus pesakit berkaitan dadah terdiri daripada golongan belia berusia antara 15 dan 30 tahun.

Satu sesi taklimat telah diadakan KBS bersama Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental HKL untuk me­rancang dan mempergiatkan agenda advokasi yang memfokuskan kepada empat komponen utama.

“Ia melibatkan kesan penggunaan bahan, corak penggunaan dadah, sistem rawatan perkhidmatan yang disediakan, serta perkhidmatan pesakit luar dan pesakit dalam berserta jenis intervensi.

“Intervensi awal yang akan dilaksanakan adalah dengan mewujudkan pelbagai bahan kesedaran termasuk poster dan video untuk kumpulan sasaran, supaya mereka tahu bahawa ini adalah satu trend yang membahayakan,” ujar Hannah.

Dalam pada itu, KBS telah ­menyusun penambahbaikan kepada prosedur operasi standard (SOP) penganjuran konsert khususnya bagi genre electronic dance music (EDM), susulan kejadian tragis melibatkan empat belia yang meninggal dunia selepas menghadiri sebuah konsert di ibu negara, tahun lalu.

Ini termasuk mewujudkan ­hydration point bagi mengatasi hidrasi, penyediaan pasukan perubatan, kesiapsiagaan hospital berdekatan dan penempatan anjing pengesan, selain poster dan video mengenai bahaya dadah termasuk tindakan sekiranya berlaku kecemasan.

“Ia tindakan baharu yang disyaratkan kepada penganjur konsert EDM terutamanya melibatkan fasiliti milik KBS.

‘Semua inisiatif ini dirangka bagi membina kesedaran proaktif dalam kalangan belia, keluarga dan komuniti sekali gus memastikan matlamat ‘Belia Bebas Dadah’ tercapai secara holistik,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |