JOHOR BAHRU – Kementerian Pertahanan telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menjalankan siasatan serta mengenal pasti punca kematian seorang Pelatih Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang meninggal dunia di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat (Pulada), Ulu Tiram, 28 Julai lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jawatankuasa itu dianggotai tiga agensi iaitu Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Pengajian Tinggi.
“Post mortem terhadap pelajar tersebut telah dibuat, tetapi kita masih belum dapat keputusan itu.
“Di peringkat ATM (Angkatan Tentera Malaysia) kita akan tubuhkan satu jawatankuasa untuk siasat apakah punca dan sebab kematian kepada mangsa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Muafakat Taman Mawar, di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan ibu mangsa, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, menuntut agar siasatan dijalankan berhubung kematian anaknya, Syamsul Haris Shamsudin, 22, sewaktu menjalani latihan di Pulada.
Ibu tunggal itu dilaporkan berkata, sebab kematian anaknya masih belum dijelaskan pihak berkuasa dengan pemerhatian mendapati kecederaan teruk pada tubuh jenazah tidak selari dengan maklumat awal kematian yang berpunca daripada sawan.
Antaranya kecederaan dialami Syamsul Haris termasuklah pendarahan dalam kuantiti banyak di hidung dan mata yang dipercayai terjadi susulan impak hentakan kuat di kepala, selain beberapa kecederaan lain seperti lebam dan luka pada badan termasuk bahagian leher serta bahu.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman dalam satu kenyataan semalam memberitahu, tiada kecederaan berunsur jenayah dikesan.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk tindakan prosedur siasatan. Hasil bedah siasat mendapati tiada kecederaan berunsur jenayah dikesan bagaimanapun punca kematian masih menunggu hasil siasatan makmal,” katanya.-KOSMO! ONLINE