ASSALAMUALAIKUM tuan mufti, bolehkah seorang lelaki berkahwin dengan anak bekas isterinya? Mohon penjelasan.
JAWAPAN: ISU perkahwinan antara bapa tiri dengan bekas anak tiri adalah persoalan fiqh yang melibatkan hukum muharramat iaitu perempuan yang haram dikahwini dalam Islam. Anak tiri perempuan atau anak kepada isteri disebutkan sebagai rabibah dalam bahasa Arab.
Allah SWT berfirman: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telah menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya).” (Surah al-Nisa, 23)
Berdasarkan ayat al-Quran tersebut, pengharaman berkahwin dengan anak isteri terikat dengan keadaan isteri tersebut telah disetubuhi. Pengharaman ini adalah mahram muabbad iaitu haram dikahwini selama-lamanya walaupun setelah berlaku perceraian dengan isteri atau kematian isteri itu.
Oleh itu, seperti yang berlaku dalam kebanyakan keadaan, haram berkahwin dengan anak isteri apabila bekas isteri tersebut pernah disetubuhi atau berlaku kemasukan air mani suami sepanjang tempoh perkahwinan.
Berdasarkan ayat al-Quran tersebut, secara tersirat makna bukan sahaja merujuk kepada perbuatan persetubuhan secara zahir tetapi juga mencakupi setiap keadaan yang menghasilkan hukum dan kesan sama dengan persetubuhan iaitu berlakunya kemasukan air mani suami ke dalam rahim isteri sama ada secara semula jadi mahupun melalui kaedah lain.
Sebagai contoh, isteri tersebut pernah melakukan intrauterine insemination (IUI) iaitu meletakkan sperma suami yang bergerak pantas ke dalam rahim isteri semasa ovulasi atau melakukan persenyawaan in vitro (IVF) iaitu persenyawaan sperma suami dan ovum isteri di luar rahim kemudian dimasukkan embrio ke dalam rahim tanpa pernah melakukan persetubuhan dengan suami.
Walaupun tidak berlaku persetubuhan tetapi berlaku kemasukan air mani.
Justeru dalam keadaan tersebut, haram selama-lamanya bagi suami berkahwin dengan anak isteri walaupun bekas isteri itu telah diceraikan atau meninggal dunia. Situasi ini juga disebutkan oleh para ulama dalam satu kaedah ringkas:
“Akad (nikah) dengan anak-anak perempuan mengharamkan ibu-ibunya. Begitu juga bersetubuh dengan ibu-ibu mengharamkan anak-anak perempuannya.”
Hukum ini terpakai kepada semua anak-anak yang dilahirkan oleh bekas isteri dalam perkahwinannya yang lain, sama ada sebelum atau selepas bercerai dengan suami tersebut. Anak-anak perempuan tersebut dimaksudkan zuriat keturunan perempuan termasuk anak-anak, cucu-cucu serta cicit-cicit sama ada kandung atau susuan.
Bagaimanapun, sekiranya bapa tiri belum pernah menyetubuhi ibu kepada anak tiri itu, maka harus berkahwin dengan anak tiri selepas perceraian atau kematian ibunya.
Larangan berkahwin dengan anak tiri selepas berlakunya persetubuhan dengan ibunya mempunyai hikmah dalam menjaga institusi kekeluargaan. Islam sangat menitikberatkan soal batas pergaulan dan hubungan kekeluargaan yang terpelihara daripada unsur yang boleh menimbulkan fitnah dan kekeliruan.
Syarak menetapkan larangan ini dengan jelas agar tidak berlaku kekeliruan dalam hubungan antara mahram dan bukan mahram dalam satu keluarga. Ini juga membantu mengelakkan situasi yang boleh menggugat keharmonian rumah tangga.
Di samping itu, larangan ini juga selari dengan matlamat aspek pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl). Perkahwinan yang dilarang seperti ini boleh menimbulkan kekeliruan nasab terutamanya jika seseorang itu berkahwin dengan anak kepada bekas isterinya yang pernah diasuh dan dibesarkan.
Dengan menjaga batas ini, Islam memastikan nasab kekeluargaan tidak dicampuradukkan dan setiap individu mengetahui dengan jelas kedudukan serta hubungan mereka dalam struktur keluarga.
Secara keseluruhannya, larangan ini merupakan satu bentuk pencegahan terhadap keretakan institusi keluarga dan salah faham dalam hubungan keluarga.
Kesimpulannya, hukum berkahwin dengan anak bekas isteri bergantung kepada sama ada suami tersebut pernah menyetubuhi ibunya atau tidak.
Jika telah berlaku persetubuhan atau kemasukan air mani suami ke dalam rahim isteri melalui kaedah rawatan, maka anak tiri tersebut menjadi haram dikahwini selama-lamanya (mahram muabbad). Sebaliknya, jika tiada sebarang bentuk persetubuhan atau kemasukan air mani sepanjang tempoh perkahwinan, maka perkahwinan dengan anak tiri adalah harus dari sudut hukum syarak, biarpun ibunya telah diceraikan.

3 hours ago
2

![[VIDEO] ‘Guru besar ke? Nampak besar sangat ‘kabel’ dia guna…’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-07-at-10.32.20_1d1c3e72.jpg)



![[VIDEO] Selepas 7 tahun masuk Islam, giliran maknya pula ucap syahadah](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/IMG_0555.jpeg)











































