SIK – “Allah pinjamkan sekejap anak kepada saya, jadi saya kena pulangkan balik kepada-Nya tepat pada harinya.”
Demikian kata Afifah Shaari, 46, ibu kepada Allahyarham Shamsul Ameen Shamsul Izrin, 18, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kampung Kuala, di sini semalam.
Shamsul Ameen yang juga bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Baling meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.Menurut Afifah, arwah pulang dari kolej ke rumahnya di Alor Setar tiga hari lalu kerana mahu belajar serta mengambil lesen memandu kereta dan motosikal di sekolah memandu.
“Ketika dia sampai, kami tiada di rumah dan hanya dapat berjumpa ketika makan malam di sebuah restoran di Alor Setar. Ameen datang, salam kami sebab lama tak jumpa,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Daerah Sik.
Katanya, keesokan paginya anak kedua daripada sembilan beradik itu menunggang motosikal ke Sik dan bermalam di rumah saudaranya di Kampung Telaga Batu.
“Dia juga berhasrat membawa motosikalnya ke kolej bagi memudahkan pergerakan ketika belajar. Tak sangka kejadian buruk menimpanya sehingga maut dalam kemalangan tersebut.
“Anak-anak ini hanya pinjaman dan amanah Allah. Saya berusaha menjaganya dengan pertolongan Allah juga. Apa yang saya usahakan selama ini untuknya, saya reda.
“Ameen anak yang baik, banyak bantu jaga adik-adiknya, mudahkan saya dalam banyak urusan, suka masak dan mengemas rumah. Dia paling sibuk kalau kami kena pindah mengikut bapanya,” ujarnya.
Bapa arwah, Shamsul Izrin, merupakan pegawai di Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Sementara itu, sepupu arwah, Abdullah Amar Abdul Jamal, 31, berkata, Shamsul Ameen baru sahaja selesai kelas memandu yang diajarnya kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Katanya, dia kemudian mengajak sepupunya itu pergi makan sebelum pulang ke rumahnya di Kampung Telaga Batu.
“Selepas makan, dia balik ke rumah saya dengan motosikalnya. Kemudian saya menghubungi isteri bertanyakan sama ada Ameen sudah sampai atau belum, tetapi katanya belum sampai lagi.
“Dalam keadaan risau, saya meneruskan kelas memandu. Tidak lama kemudian, sekitar pukul 2 petang, ibunya menghubungi saya memaklumkan Ameen terlibat dalam kemalangan. Saya segera ke tempat kejadian, namun Ameen telah meninggal dunia,” katanya.
Tambahnya lagi, tiada perubahan ketara pada Ameen, cuma semalam dia kelihatan agak pendiam dan guru kelas memandu sempat mengusiknya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Safuan Md. Noor berkata, kejadian kira-kira pukul 2 petang itu membabitkan motosikal jenis Honda C100 dengan sebuah lori.
“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal itu dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan utama lori.
“Disebabkan jarak yang dekat, pemandu lori tidak sempat membrek dan mengelak menyebabkan lori berlanggar dengan motosikal itu di bahagian hadapan sebelah kanan,” katanya.
Menurutnya, akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke dalam longkang di sebelah kiri jalan.
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Sik untuk bedah siasat,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE

2 hours ago
1

![[VIDEO] ‘Guru besar ke? Nampak besar sangat ‘kabel’ dia guna…’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-07-at-10.32.20_1d1c3e72.jpg)



![[VIDEO] Selepas 7 tahun masuk Islam, giliran maknya pula ucap syahadah](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/IMG_0555.jpeg)











































