PNB Merdeka Ventures terbit sukuk terbesar RM6 bilion

2 hours ago 3

PETALING JAYA – PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd. (PNBMV), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), telah berjaya melaksanakan terbitan sulung Sukuk Wakalah Merdeka Lestari di bawah Program Sukuk Wakalah Merdeka sehingga RM6 bilion nilai nominal sebagai sebahagian daripada strategi kepelbagaian pembiayaannya.

Transaksi berkenaan menandakan empat pencapaian setakat ini, iaitu terbitan Sukuk Lestari korporat terbesar di ASEAN, terbitan Sukuk Lestari terbesar oleh sektor hartanah komersial di ASEAN, terbitan Sukuk denominasi Ringgit (MYR) terbesar, dan terbitan tunggal terbesar Sukuk Lestari korporat dalam Ringgit bertaraf AAA.

Transaksi ini telah dipasarkan melalui proses pembukuan yang dipercepatkan pada 16 Oktober 2025 dengan tempoh matang 5, 7, 10 dan 15 tahun dan saiz terbitan asas RM5.5 bilion. Satu tranche 20 tahun bernilai RM500 juta ditawarkan secara penempatan persendirian.

Pada kemuncaknya, buku pesanan mencatat nisbah bidaan sebanyak 1.17 kali, membolehkan PNBMV meningkatkan jumlah terbitan kepada RM6 bilion. Ia menarik minat kukuh daripada lebih empat puluh pelabur termasuk syarikat berkaitan kerajaan, institusi kewangan, pengurus aset dan syarikat insurans.

Tawaran akhir telah ditetapkan pada kadar keuntungan 3.64 peratus, 3.79 peratus, 3.83 peratus, 4.04 peratus dan 4.11 peratus, masing-masing bagi tempoh matang 5, 7, 10, 15 dan 20 tahun, dengan kadar keuntungan purata berwajaran sebanyak 3.83 peratus, jauh lebih rendah berbanding kos pembiayaan Sukuk tanpa penarafan yang diterbitkan oleh PNBMV pada tahun 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif PNBMV, Datuk Tengku Ab. Aziz Tengku Mahmud berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan sambutan menggalakkan daripada pelabur, yang mencerminkan keyakinan mereka terhadap daya komersial pembangunan Merdeka 118.

“Kejayaan terbitan ini sekali lagi mengukuhkan keyakinan pasaran terhadap keupayaan kami serta prospek jangka panjang presint Merdeka 118 sebagai lambang kebanggaan negara dan pemangkin kepada pertumbuhan berterusan Kuala Lumpur.

“Ia juga menegaskan komitmen kami untuk membentuk pembangunan yang berimpak kekal, projek yang memperkasa komuniti, memperkukuh identiti negara, dan meninggalkan legasi bermakna untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan semalam. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |