[VIDEO] Selepas 7 tahun masuk Islam, giliran maknya pula ucap syahadah

2 hours ago 1

PETALING JAYA – Berkat doa dan kesabaran seorang pempengaruh media sosial, Muhammad Mikhael Sathayah selama tujuh tahun, ibunya akhirnya melafazkan syahadah dan memeluk agama Islam dalam satu majlis ringkas, semalam.

Pempengaruh yang lebih dikenali sebagai Muka Gangster itu berkongsi berita gembira tersebut melalui akaun TikToknya, sambil memaparkan detik ibunya, M Muniamah, 75, dibimbing oleh seorang ustaz untuk mengucapkan dua kalimah syahadah.

Situasi penuh makna itu turut disaksikan oleh Muhammad Mikhael serta isteri.

“Hebat kuasa Allah. Terima kasih Allah. Ya Allah…Ya Allah…Ya Allah, hidayah milik Allah.

“Alhamdulillah, akhinya ‘mak titew’. Sesungguhnya hidayah itu milik Allah, saat ini rasa macam mimpi. Terima kasih Allah,” katanya.

Selesai proses berkenaan, Muniamah dilihat memberikan ciuman di pipi Muhammad Mikhael dan memeluk menantunya sebagai tanda syukur sehingga video dikongsikan meraih lebih dua juta tontonan.

Pelbagai reaksi diberikan orang ramai di ruangan komen dan rata-ratanya mengucapkan tahniah buat warga emas tersebut sebagai saudara Islam baharu.

“Ya Allah masya-Allah, menitik air mata ini. Akhirnya Allah bagu hidayah untuk ‘mak titew’ masuk Islam,” komen Hiyjeraa.

“Nak tengok ‘mak titew’ pakai tudung. Abang jangan lupa ‘tag’ saya. Anak la segalanya buat mak, sebab tu maknya sanggup masuk Islam juga, semoga mak sihat selalu dan murah rezeki,” kata Isyika.

“Hebat brader (abang) ni, dulu dia pernah cakap walaupun dia masuk Islam dia tak akan tinggalkan mak dia. Akhirnya dia berjaya tarik (mak) sekali (masuk Islam),” kata @Hemhe.

Terdahulu, Muhammad Mikhael menjadi perhatian ramai selepas dia berkongsi kisah penghijrahannya menerusi perkongsian video di media sosial.

Katanya, sebelum ini dia mencari dan mengejar dunia, namun merasakan hatinya semakin hari semakin kosong serta gelap jiwa.

“Mencari jiwa yang hilang, kenapa aku ke sini. Sampai dah dapat jawapan, saya bagi tahu mak, mak saya nak masuk Islam. Mak terdiam, terkejut lepas itu mak senyum dan beri kebenaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |