PETALING JAYA – Seorang ibu kesal dengan sikap culas bekas suaminya untuk memberikan kewajipan nafkah menyebabkan jumlah tertunggak itu mencecah RM70,750 dari tempoh November 2020 hingga Disember tahun lalu.
Luahan itu dikongsikan seorang pengguna Facebook yang mana dia berkongsi senarai nafkah perlu diperolehi anak-anak mereka serta didakwa tidak ditunaikan oleh lelaki berkenaan.
“Gambar ini bukan sekadar catatan akaun. Ia adalah bukti bertahun-tahun perjuangan saya sebagai ibu menanggung sepenuhnya keperluan anak-anak tanpa nafkah yang sepatutnya diberi sejak November 2020.
“RM1,350 setiap bulan, perbelanjaan tambahan awal persekolahan, raya dan lain-lain. Jumlah terkumpul yang tidak dibayar RM70,750,” katanya pada hantaran berkenaan.
Wanita itu berkata, catatan yang dibuat pada setiap bulan bukan berniat untuk menagih simpati, tetapi untuk memastikan anak-anaknya tahu bahawa dia tidak pernah mengabaikan mereka, walaupu satu sen pun nafkah tidak sampai.
“Nafkah bukan pilihan, ia kewajiban. Anak-anak berhak hidup dengan selayaknya cukup makan, cukup kasih, cukup perhatian.
“Saya tak pernah minta lebih cuma minta yang sepatutnya, hak anak-anak. Mereka membesar tanpa tahu apa itu erti ‘tunggakan’, tapi mereka rasa kesannya.
“Bila tak dapat beli buku ikut masa, bila kasut sekolah koyak lambat diganti, bila terpaksa tahan kehendak sebab keperluan lebih penting,” katanya.
Wanita itu berkata, dia berkorban segala-galanya, namun keperitan berkenaan tidak sepatutnya ditanggung seorang diri.
“Kalau dulu boleh berjanji di hadapan hakim dan Allah untuk beri nafkah setiap bulan, kenapa kini senyap tanpa khabar?
“Ini bukan soal bekas pasangan. Ini soal tanggungjawab terhadap darah daging sendiri. Saya akan terus catat, terus simpan bukti, terus bertahan kerana anak-anak saya berhak untuk dibela, bukan dilupa.
“Buat ibu di luar sana yang sedang menanggung semuanya sendiri, saya faham peritnya. Semoga kita terus kuat, demi anak-anak yang tidak pernah salah memilih untuk dilahirkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE