Kepimpinan, ahli UMNO perlu tukar gaya pemikiran – Johari

6 hours ago 5

JOHOR BAHRU – Kepimpinan dan ahli UMNO perlu menukar gaya pemikiran agar bersesuaian dengan dinamik politik semasa yang mana majoriti pengundi hari ini terdiri dalam kalangan terpelajar.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kira-kira 40 peratus pengundi di setiap kawasan Parlimen ketika ini adalah individu berpendapatan sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.

Menurut beliau, gaya pemikiran pengundi di setiap kawasan juga berbeza melibatkan latar belakang berlainan seperti Johor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan juga Kuala Lumpur.

“Golongan pengundi hari ini bukan golongan yang hidup susah dan akan menyokong UMNO hanya kerana nostalgia walaupun parti ini telah memerdekakan dan membangunkan negara selama 60 tahun mentadbir.

“Jika kita terus dengan pemikiran, UMNO sudah lakukan segala-galanya untuk negara tetapi mengapa masih ditolak rakyat, apa salah UMNO, kita akan terus dipinggirkan masyarakat termasuklah Melayu.

“Daripada 198 bahagian, pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11, kita (Barisan Nasional) menang 140 parlimen kemudian jatuh kepada 133, kemudian 79 dan sekarang hanya tinggal 30 parlimen,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Muafakat Taman Mawar, di sini hari ini.

Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi juga sehubungan itu berkata, UMNO tidak lagi boleh menggunakan strategi dan kaedah sama dan berharap keputusan yang berbeza.

“Kita perlu bersikap lebih terbuka khususnya dengan golongan muda dan terpelajar, agar golongan ini mesra dengan UMNO dan memilih menyertai atau menyokong parti politik lain.

“Antara pendekatan kita ambil adalah dengan mengadakan pertemuan dengan mahasiswa dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Ini salah satu kaedah kita mendekati golongan tersebut,” ujarnya lanjut.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |