Malaysia jadi tuan rumah mesyuarat konflik sempadan Thailand-Kemboja

6 hours ago 5

JOHOR BAHRU – Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) berkaitan kawasan persempadanan yang menjadi pertikaian antara Thailand dan Kemboja.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mesyuarat tersebut dijangka diadakan di Wisma Perwira, Kuala Lumpur, minggu depan.

Menurut beliau, pihaknya akan menghubungi rakan sejawatannya dari kedua-dua negara, petang ini untuk membincangkan perkara tersebut.

“Kita telah bersetuju menjadi tempat bagi mesyuarat sempadan Thailand-Kemboja yang akan diadakan minggu hadapan. Petang ini saya akan telefon Menteri Pertahanan Kemboja dan juga Menteri Pertahanan Thailand memaklumkan kesediaan Malaysia bagi tujuan itu.

“Selepas itu baru diadakan zoom meeting antara ketiga-tiga Menteri Pertahanan untuk ditentukan apakah perkara yang hendak dibincangkan pada mesyuarat itu kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Muafakat Taman Mawar, di sini hari ini. Turut hadir, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Sebelum ini, Kemboja bersetuju menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) bersama Thailand untuk meneruskan rundingan damai demi menyelesaikan konflik sempadan antara kedua-dua negara.

Mesyuarat itu pada asalnya dijadualkan berlangsung di Phnom Penh pada 4 Ogos depan.

Bagaimanapun, semalam, Thailand mengemukakan cadangan agar mesyuarat berkenaan diadakan di Malaysia sebagai negara berkecuali selain tempohnya dipanjangkan daripada hanya satu hari perbincangan.

Konflik antara kedua-dua negara itu telah menyebabkan kehilangan puluhan nyawa termasuk orang awam, selain ratusan lain cedera serta memaksa ribuan penduduk di kawasan sempadan kedua-dua negara dipindahkan.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |