Betapa samsengnya anak-anak sekarang

10 hours ago 8

KITA dikejutkan dengan berita tragis kematian pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah agama di Tuaran Sabah, Zara Qairina Mahathir yang mana pihak polis tidak menolak kemungkinan wujud unsur buli berdasarkan siasatan yang membabitkan kira-kira 60 saksi.

Tidak hanya itu, masyarakat turut digemparkan dengan kisah enam pelajar Tingkatan Lima sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Melaka dibuang sekolah serta-merta kerana terbabit dalam kes buli, minggu lalu. Mengecewakan, mereka ini kelompok pintar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tidak lama lagi.

Minggu ini, tular video pergaduhan membabitkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Berikutkan kejadian itu, empat pelajar digantung sekolah, manakala 14 lagi diberi surat amaran yang mana ‘hukuman’ itu menjadi bahan perdebatan netizen apabila dikatakan terlalu ringan.

Terdahulu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu sebuah sekolah menengah di Sungai Petani ditemui di tandas dalam keadaan tangan dan kaki diikat serta mulut ditutup dengan sapu tangan akibat dicemburui dua rakannya. Berani sungguh!

Itu belum lagi kisah pelajar Tingkatan Dua yang mengaku bersalah menumbuk seorang guru di sebuah sekolah di Kajang hanya kerana ditegur ponteng kelas pendidikan jasmani.

Berdasarkan kes-kes di atas kita dapat simpulkan betapa beraninya anak remaja sekarang. Entah apa yang ada dalam kepala masing-masing sehingga tergamak bertindak seganas itu. Penulis percaya, pelaku tahu akibat yang bakal mereka hadap sekiranya ‘kantoi’ tetapi masih melakukannya.

Dengan kehebatan teknologi, golongan ini terdedah dengan pelbagai pengaruh negatif yang boleh diperolehi daripada pelbagai sumber. Mereka jadi ‘advance’ dalam serba-serbi termasuk perlakuan. Meski ada contoh-contoh kes terdahalu yang dikenakan tindakan undang-undang, ternyata ia tidak berbekas di hati kelompok ini sebaliknya makin seronok menunjukkan ‘kuasa’.

Justeru, penulis berharap lebih ramai selebriti dan pempengaruh terkenal tanah air menjalankan tanggungjawab sosial dalam membantu menangani isu tidak berkesudahan ini. Jangan hanya ghairah berkongsi perihal karier dan bisnes sahaja, mohon peka dengan isu semasa khususnya membabitkan generasi muda yang bakal menjadi pelapis dalam pelbagai bidang satu hari nanti.

Kalian ada pengaruh yang besar dan berupaya menarik perhatian anak-anak sekolah dan remaja untuk menjauhi perbuatan buli dengan kerap memperkatakan isu ini dalam media sosial masing-masing. Laungkan berulang kali dan dekatilah golongan pelajar dengan menyelitkan konten berbentuk peringatan serta nasihat.

Ada anak seni dan pempengaruh yang peka dan bangkit bersuara mengenai isu buli, namun tidak ramai dan bermusim. Caprice dan Eisya Toh antara yang konsisten bersuara bahkan Datuk Aznil Nawawi antara yang kerap turun padang bertemu dengan pelajar.

Bagaimana pula yang lain? Mana kelibat artis-artis besar atau pempengaruh hebat lain melaungkan kempen anti buli.

Jangan sampai kena batang hidung sendiri baru sibuk nak rayu sokongan dan memperjuangkan hak mangsa buli.

Read Entire Article
Pertanian | | | |