MELAKA – Sebanyak 450 paket rokok disita manakala dua buah premis dikenakan tindakan tegas selepas dikesan menjual rokok di bawah harga minimum RM12 dalam Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) yang dijalankan di sekitar Duyong, di sini, malam tadi.
Operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) itu turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara serta Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM).
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, sebanyak 10 premis diperiksa dalam operasi itu membabitkan 40 anggota pelbagai agensi.
Menurutnya, daripada hasil pemeriksaan mendapati dua premis menjual rokok bawah harga minimum ditetapkan dan ini merupakan satu kesalahan serius di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852].
“Sebanyak 6 notis kompaun dikeluarkan dengan nilai RM1,500 termasuk satu kesalahan merokok di kawasan larangan merokok Seksyen 16 (2) dan lima kesalahan gagal mempamer tanda larangan merokok iaitu Seksyen 18 (1)(a).
“Selain itu, dua kes dikesan di bawah Seksyen 14 kerana menjual rokok pada harga lebih rendah dan operasi ini turut menyita 450 paket rokok tidak sah yang dianggarkan bernilai RM3,055.50 manakala nilai kesalahan yang dikesan dalam operasi malam ini berjumlah RM44,555.50,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi tersebut di sini, malam tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, Hee Sem menegaskan bahawa penguatkuasaan Akta 852 akan terus diperkasakan, khususnya terhadap premis makanan, pejabat dan tempat awam agar bebas sepenuhnya daripada aktiviti merokok.
“Saya menyeru semua pemilik premis supaya mematuhi syarat dan peraturan termasuk memasang tanda larangan merokok bersaiz minimum 40 sentimeter lebar dan 50 sentimeter panjang yang mudah dilihat.
“Orang awam disaran agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan pelanggaran larangan merokok kepada Pejabat Kesihatan Daerah atau saluran rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.- KOSMO! ONLINE