Terbuka Macau: Justin tempah final bersejarah

5 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Selepas bertarung lebih sejam, perseorangan lelaki negara, Justin Hoh melakar sejarah tersendiri apabila melangkah ke final Jelajah Dunia buat kali pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka Macau.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di East Asian Games Dome sebentar tadi, bekas juara remaja Asia itu dipaksa bekerja keras sebelum menang 19-21, 21-16, 21-16 ke atas pemain India, Tharun Mannepalli.

Biarpun bermula agak perlahan dan tewas di set pertama, namun pemain berusia 21 tahun itu kembali memperkemaskan permainan sebelum memenangi dua set berikutnya walaupun diberikan tentangan sengit.

Pengarah kejurulatihan perseorangan negara, Kenneth Jonassen memuji aksi ditampilkan pemain No.45 dunia itu meskipun terpaksa berdepan pelbagai cabaran sepanjang perlawanan yang memakan masa 81 minit.

“Saya sangat gembira untuk Justin kerana dia memang layak melangkah ke perlawanan akhir. Ia merupakan satu perlawanan yang sangat sukar dan banyak perkara berbeza perlu dia harungi hari ini.

“Justin melaksanakan tugas dengan cukup cemerlang dan tahniah kepada Yogendran juga kerana berjaya memberi tunjuk ajar kepada Justin sepanjang perlawanan berlangsung,” katanya ketika dihubungi Kosmo! selepas tamat perlawanan.

Menjelang aksi final esok, Justin sekali lagi dijangka berdepan aksi sukar apabila bakal bertemu sama ada pemain Indonesia, Alwi Farhan ataupun seorang lagi wakil India, Lakshya Sen.

Sebagai rekod, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu tidak pernah melangkah ke perlawanan akhir dalam mana-mana saingan Jelajah Dunia sebelum ini dengan pencapaian terbaik adalah mara ke suku akhir pada Terbuka Taiwan sebanyak dua kali.

Sementara itu, kali terakhir perseorangan lelaki negara melangkah ke perlawanan akhir dalam saingan Jelajah Dunia adalah menerusi pemain profesional, Lee Zii Jia ketika memenangi kejohanan Terbuka Australia tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |