Mahkamah Rayuan Thailand belum terima permohonan kelima pembebasan Eda Ezrin

9 hours ago 8

NARATHIWAT, THAILAND – Nasib penyanyi Bea Sobar Bea, Eda Ezrin, 30, atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail bersama suami dan empat lagi rakan masih tergantung apabila Mahkamah Rayuan Wilayah Narathiwat di sini masih belum menerima sebarang permohonan rasmi rayuan daripada pihak pendakwa raya berhubung pembebasan kesemua rakyat Malaysia itu.

Jurucakap mahkamah berkata, setakat ini, pejabat pendakwa raya belum memfailkan rayuan rasmi berkaitan kes tersebut dan tarikh akhir permohonan melanjutkan tempoh memfailkan rayuan akan tamat Rabu ini.

“Setakat petang ini (semalam), mahkamah belum menerima rayuan daripada pendakwa raya. Tunggu sehingga 6 Ogos ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, jurucakap Mahkamah Rayuan Wilayah 9 ketika dihubungi juga memberitahu, pihaknya belum menerima maklumat daripada pejabat pendakwa raya.

“Proses memfailkan rayuan mesti melalui mahkamah wilayah sebelum diserahkan kepada pejabat Mahkamah Rayuan Wilayah 9 di sini (Narathiwat) untuk diproses.

“Bergantung kepada hakim untuk menerima atau menolak rayuan berserta alasan yang diberikan pendakwa raya. Jika diterima, maka hakim akan menetapkan tarikh perbicaraan. Jika ditolak, semua mereka akan dibebaskan,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, tahanan reman terhadap Eda Ezrin Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, dengan suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, dilanjutkan sehingga 6 Ogos ini.

Mereka perlu menjalani tambahan tempoh tahanan di penjara selama sebulan bermula sehingga 6 Ogos ini meskipun sudah dibebaskan daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda di Sungai Golok.

Mahkamah sebelum ini membenarkan permohonan pertama daripada pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh reman enam rakyat Malaysia itu bermula 6 Mac hingga 6 April, kedua (6 April hingga 6 Mei), ketiga (6 Mei hingga 6 Jun), keempat (10 Jun hingga 6 Julai) dan kelima (6 Julai hingga 6 Ogos).

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang, Keadilan dan Hak Asasi Manusia Parlimen Thailand, Kamonsak Leewamoh memaklumkan bahawa penahanan kesemua rakyat Malaysia itu boleh disambung tanpa had masa.

Menurutnya, ia bergantung kepada keputusan mahkamah untuk membenarkan atau tidak permohonan yang dibuat oleh pihak pendakwa raya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |