Penguatkuasaan yang gagal antara punca lalat ‘bermaharajalela’ di Sitiawan

9 hours ago 9

LUMUT – Masalah lalat di Sitiawan dekat sini sehingga menjejaskan kualiti hidup penduduk berpunca daripada kepadatan kawasan penternakan ayam, kawalan yang lemah serta kegagalan dari segi penguatkuasaan.

Ketua Biro Dasar Awam DAPSY Kebangsaan, Jason Ng Thien Yeong berkata, sehubungan itu, jawatankuasa khas yang sebelum ini ditubuhkan bagi menangani masalah lalat yang serius itu perlu diperkasakan terutamanya daripada segi prosedur dan penguatkuasaannnya.

“Saya mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa khas menangani masalah lalat oleh kerajaan negeri Perak, namun menegaskan bahawa penubuhan jawatankuasa sahaja tidak mencukupi.

“Ia perlu ditambah baik dari segi prosedur serta keberkesanan penguatkuasaan di lapangan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Astaka di sini hari ini.

Jason berkata, beliau baru-baru ini menyertai lawatan bersama pegawai Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) ke beberapa ladang ayam di kawasan Simpang Dua dan Pekan Gurney di Sitiawan bagi menilai situasi sebenar pencemaran lalat di kawasan berkenaan.

Katanya, pegawai MPM telah mengeluarkan surat amaran kepada pengusaha yang gagal mematuhi tahap kebersihan minimum, manakala pegawai JPV turut menjalankan ujian indeks lalat untuk pemantauan seterusnya tapi tiada kompaun dikeluarkan.

“Lawatan ini penting untuk memahami punca sebenar masalah dan mengambil langkah pencegahan awal. Walaupun ada sedikit penambahbaikan sebelum ini, aduan penduduk tentang gangguan lalat masih berlarutan dan menjejaskan kehidupan harian.

“Penubuhan jawatankuasa khas merupakan satu langkah koordinasi antara pelbagai agensi, namun ia harus disusuli dengan tindakan bersepadu dan komitmen politik yang lebih tegas,” katanya.

Jason berkata, masalah lalat di Sitiawan berpunca daripada penternakan ayam yang terlalu padat, kawalan yang lemah serta kegagalan dari segi penguatkuasaan.

Katanya, Dewan Undangan Negeri Perak telah meluluskan pindaan terhadap Enakmen Penternakan Unggas pada tahun 2023 untuk meningkatkan kadar penalti, namun masih terdapat kelemahan dalam aspek pelaksanaan.

“Prosedur penguatkuasaan yang rumit dan perlahan, serta kekurangan sumber di peringkat penguatkuasaan, menyebabkan tiada kesan ketara yang dapat dilihat di lapangan.

Sehubungan itu, saya akan membawa isu ini ke sidang Dewan Undangan Negeri akan datang untuk menggesa kerajaan negeri melancarkan mekanisme penguatkuasaan lebih berkesan dan meningkatkan kapasiti agensi berkaitan bagi menangani masalah lalat secara menyeluruh dan berkesan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |