RANTAU PANJANG – Mungkin keupayaannya terbatas, namun seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam di Kampung Bukit Belah, di sini tidak sesekali melupakan tanggungjawab terhadap abangnya yang diuji dengan kesakitan.
Sudah menjadi rutin seharian Zulkifli Mat Nor, 33, yang hanya berbekalkan sebuah basikal usang untuk mengambil upah melakukan pelbagai kerja kampung termasuk mengutip buah kelapa sawit demi membantu Zeni Mat Nor, 56, yang menderita komplikasi penyakit kencing manis serta diserang gangren.
Zeni berkata, pendapatan Zulkifli itu dapat digunakan untuk membeli susu khas, ubat-ubatan, kapas serta bahan pencuci luka yang diperlukannya.
“Kesempitan hidup pernah menyebabkan Zulkifli terpaksa menggali ubi kayu untuk dijadikan makanan apabila kami kehabisan wang untuk membeli barangan dapur.
“Saya pula bukan saja kehilangan beberapa jari kaki, malah sebahagian tapak kaki terpaksa dipotong akibat gangren yang merebak, menyebabkan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.
“Keadaan ini memaksa saya berhenti bekerja sebagai pemandu lori beberapa tahun lalu, sekali gus menyebabkan keluarga kami hilang sumber pendapatan utama dan terpaksa bergantung pada pendapatan kecil diperoleh Zulkifli serta bantuan bulanan RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya di sini hari ini.
Katanya, selain bantuan bulanan JKM, mereka turut menerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang digunakan untuk membeli barangan keperluan harian.
“Bantuan ini sangat membantu kami membeli barang dapur dan keperluan asas. Kalau tidak, memang susah untuk kami bertahan dalam keadaan sekarang,” katanya.
Zeni berkata, keperluan hariannya diuruskan isteri, Rohana Abdullah, 63, yang juga mempunyai masalah kesihatan termasuk menghidap penyakit tiroid dan darah tinggi.
“Setiap hari, isteri menguruskan keperluan saya termasuk mencuci luka, menukar lampin pakai buang dan menyediakan susu khas. Dia pun tidak sihat tetapi tetap setia menjaga saya,” katanya.
Walaupun tiada dikurniakan zuriat sepanjang lebih 20 tahun mendirikan rumah tangga, beliau berkata, Rohana tetap setia bersamanya dalam keadaan susah dan senang.
Terdahulu, Pengasas Yayasan Raja Shamri (YRS), Raja Shamri Raja Husin, menyantuni keluarga berkenaan dan menyampaikan sebuah katil, sumbangan wang tunai serta barangan keperluan asas bagi meringankan beban mereka.
Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Agrobank bernombor 2005 5610 0014 9036 atas nama Zeni Mat Nor.

1 day ago
14













![[VIDEO] Gadis tangguh belajar di UTHM, kerja kilang cari rezeki](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-19-at-9.44.53-PM.jpeg)


![[VIDEO] ‘Dia nangis-nangis pula…’](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-19-at-7.55.17-PM.jpeg)





















![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)









