PETALING JAYA – Seorang pelajar lepasan diploma menangguhkan impian dengan menolak tawaran menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor berikutan kekangan kewangan dialaminya.
Nur Ariyah Asaari sepatutnya mendaftar masuk ke UTHM pada 13 September lalu, namun dia mengambil keputusan berat tersebut serta mencari rezeki dengan bekerja di sebuah kilang di Kulim Bandar Baharu, Kedah.
Bagaimanapun, masalah dihadapi gadis tersebut mendapat perhatian pihak UMNO Cawangan Bendang Kerajaan, Gerik, seterusnya Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bergegas berkunjung ke rumah Nur Ariyah pagi tadi.
“Beberapa hari lalu, saya dimaklumkan oleh UMNO Cawangan Bendang Kerajaan, Gerik mengenai kisah adik Nur Ariyah terpaksa menolak tawaran melanjutkan pengajian ke UTHM dalam bidang Kejuruteraan Elektronik (Robotik dan Sistem Kecerdasan Buatan) atas faktor kekangan kewangan yang sepatutnya mendaftar pada 13 September lepas.
“Ayahnya dahulu bekerja sebagai penoreh getah kini uzur sakit pinggang kronik dan tidak lagi mampu bekerja, manakala ibunya pula mengambil upah mengasuh anak-anak jagaan dan kini menyewa rumah dan dalam serba kekurangan di Bendang Kerajaan, Gerik.
“Demi mengumpul wang untuk menyambung pengajian, adik Nur Ariyah memilih untuk bekerja di sebuah kilang di Kulim Bandar Baharu, Kedah dan terpaksa menangguh pengajiannya,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.
Semasa kunjungan berkenaan, beliau turut menghubungi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM, Profesor Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq untuk mendapatkan bantuan agar Nur Ariyah dapat kembali menyambung pengajian serta dibantu dari segi perbelanjaan dan kemudahan sepanjang berada di UTHM.
“Saya turut menyampaikan sedikit bantuan peribadi dan insya-Allah, Yayasan Pelajaran Mara (Majlis Amanah Rakyat) akan turut membantu bagi memastikan perjalanan pendidikan adik Nur Ariyah tidak terhenti hanya kerana kekangan kewangan.
“Saya percaya hanya dengan ilmu dan pendidikan, kita mampu merubah kehidupan seseorang. Jangan kerana kemiskinan hari ini, kita biarkan anak-anak kita kehilangan peluang untuk membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Beliau turut mendoakan Nur Ariyah terus kuat melangkah dan suatu hari nanti menjadi seorang yang berjaya dan mampu membanggakan. – KOSMO! ONLINE

19 hours ago
8















![[VIDEO] ‘Dia nangis-nangis pula…’](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-19-at-7.55.17-PM.jpeg)






















![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)









