Sambutan Hari ATM ke-93 mampu tarik 200,000 pengunjung

20 hours ago 8

IPOH – Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-93 dijangka mampu menarik 200,000 orang pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut bermula hari ini.

Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan, Markas ATM dalam kenyataannya berkata, sambutan pada tahun ini bertemakan Ketahanan ATM, Benteng Pertahanan Negara.

Katanya, ia mencerminkan komitmen ATM untuk terus memperkukuh kesiapsiagaan, membangunkan keupayaan serta menyesuaikan organisasi dengan perubahan persekitaran keselamatan dalam memastikan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara terus dilaksanakan dengan berkesan.

“Sambutan Hari ATM Ke-93 Tahun 2026 di Pangkalan TLDM Lumut hari ini menzahirkan ketahanan, kesiapsiagaan dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Perbarisan Tempur, pelbagai peluncuran inisiatif dan dokumen strategik serta Karnival Hari ATM yang dibuka kepada masyarakat awam.

“Pengisian utama sambutan pada hari ini dimulakan dengan Perbarisan Tempur Hari ATM Ke-93 yang melibatkan 641 pegawai dan anggota daripada ketiga-tiga perkhidmatan ATM.

“Perbarisan tersebut menampilkan disiplin, ketertiban, profesionalisme dan kesiapsiagaan warga ATM dalam melaksanakan amanah pertahanan negara,” katanya di sini hari ini.

Katanya, Sambutan Hari ATM Ke-93 turut menjadi platform untuk mengetengahkan usaha transformasi ATM melalui pelbagai peluncuran inisiatif dan dokumen strategik.

Menurutnya, antara inisiatif yang diluncurkan ialah MyZULU Health, Program Kesihatan Sosial dan Kerohanian Organisasi (KSKO), HRMIS on Internet (HOI) serta Tim Nukleus Angkatan Siber.

“Turut diluncurkan ialah Dokumen Kajian Separuh Penggal Strategi Ketenteraan Negara 2.0 (KSP SKN 2.0), 4th Dimension Malaysian Armed Forces Plus (4DMAF+) dan Buku Pelan Tindakan Pencegahan Rasuah ATM 2026 hingga 2030.

“Peluncuran tersebut mencerminkan usaha berterusan ATM dalam memperkukuh hala tuju strategik, pembangunan keupayaan, transformasi, integriti dan tadbir urus organisasi,” katanya.

Dalam masa yang sama, katanya, Karnival Hari ATM Tahun 2026 yang berlangsung hari ini dan esok menyediakan ruang kepada masyarakat awam untuk mengenali ATM dengan lebih dekat melalui pelbagai pengisian seperti pameran aset, gerai pameran, demonstrasi keupayaan, persembahan dan aktiviti interaktif bersama warga ATM.

“Pelbagai aset ketiga tiga perkhidmatan ATM turut dipamerkan kepada orang ramai, termasuk aset tempur darat, kenderaan taktikal, kapal TLDM, pesawat, sistem tanpa pemandu serta aset sokongan kesihatan.

“Pameran ini memberi peluang kepada masyarakat melihat dengan lebih dekat kepelbagaian keupayaan yang menyokong pelaksanaan tugas ATM,” katanya.

Selain pameran, pengunjung turut berpeluang menyaksikan demonstrasi pasukan khas, demonstrasi maritim, Open Ship dan aktiviti boat ride, selain menikmati pelbagai persembahan serta aktiviti yang sesuai untuk keluarga.

Pengisian pada hari pertama turut diserikan dengan Sunset Ceremony dan persembahan Badan Kesenian pada sebelah malam, manakala hari kedua memberi tumpuan kepada pengisian yang lebih interaktif dan mesra keluarga. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |