Kalau ada yang retak, kita satukan – Nurul Izzah

4 hours ago 1

PETALING JAYA – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baharu, Nurul Izzah Anwar menyeru agar keseluruh komponen parti kembali bersatu untuk merealisasikan reformasi buat rakyat.

Menerusi catatan di Facebooknya, beliau berkata kemenangan yang dicapai bukan lah waktu untuk bersorak atau bersenang lenang malah ia adalah waktu untuk bekerja lebih keras serta melipat gandakan usaha.

Ujarnya, dia mewakili parti sama ada yang mengundi dirinya mahupun Datuk Seri Rafizi Ramli menyeru agar komponen parti menghayati amanat dengan tidak mensia-siakan peluang diberi.

“Saya melangkah ke hadapan bukan dengan rasa megah, tetapi dengan penuh rasa tanggungjawab dan sedar, bahawa setiap undi adalah amanah, dan setiap amanah menuntut kerja sebenar.

“Mari kita bina kembali kekuatan ini. Kalau ada yang retak, kita satukan. Kalau ada yang renggang, kita dekatkan. Bersama, kita mampu membawa reformasi sebenar dari hati, untuk rakyat,” katanya.

Tambah bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi, presiden parti (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kini sedang memegang amanah sebagai peneraju kerajaan.

Katanya, presiden juga memikul tanggungjawab besar mengemudi negara dalam era penuh ketidaktentuan, di tengah percaturan kuasa dunia seperti perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat.

“Maka, dalam keadaan ini, peranan Timbalan presiden menjadi lebih kritikal. Untuk memperkukuh parti, memastikan urus tadbir dalaman berada pada landasan kukuh, agar presiden dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran negara,” katanya.

Nurul Izzah berkata, antara langkah pertama yang dilakukan ialah memperkenalkan sebuah program universal untuk semua cabang, satu inisiatif menyeluruh bagi memperkasa jentera akar umbi.

Jelasnya, program ini akan memfokuskan kepada strategi meningkatkan jumlah penyokong, pendekatan efektif mendekati rakyat, serta cara terbaik membantu komuniti di kawasan masing-masing.

“Kita tidak boleh membiarkan pahlawan kita berjuang tanpa kekuatan.

“Kita akan pastikan setiap jeneral dan pahlawan parti, dari cabang hingga ke pusat, dilengkapi dengan kekuatan yang cukup, ilmu, sumber, dan semangat juang bagi menghadapi medan tempur politik yang mendatang,” katanya.

Rafizi sebelum ini tewas merebut jawatan Timbalan Naib PKR kepada Nurul Izzah Anwar.

Dalam saingan itu, Nurul Izzah Anwar yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh memperoleh 9,803 undi untuk menewaskan Rafizi yang meraih 3,886 undi. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |