SEPANG – Olive Jardine Sdn. Bhd. (Olive Jardine) pengeluar dan pengedar produk Zoutina Prestige kini lebih berkeyakinan untuk memasarkan minyak zaitun yang boleh diminum dan terdiri daripada minyak perahan dara atau extra virgin oil (EVOO) ekoran kajian yang dibuat hasil kerjasamanya dengan Fakulti Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sejak tahun lepas.
ajian tersebut kini semakin hampir selesai dan ia bakal diterbitkan serta dijadikan sebagai kerja-kerja akademik di universiti berkenaan.
Susulan daripada kerjasama tersebut, hasil daripada kajian itu telah dibentangkan dalam satu Sidang Kemuncak Minyak Zaitun Malaysia yang pertama dianjurkan di negara ini anjuran Olive Jardin dan UniSZA di sebuah hotel di sini baru-baru ini.
Program sehari yang melibatkan pembentangan beberapa kertas kerja dan penyelidikan tentang minyak zaitun perahan dara ini telah dihadiri oleh pelbagai pihak berkepentingan dalam industri berkenaan termasuk pengusaha, pengguna, ahli akademik, wakil daripada Kementerian Kesihatan dan tetamu lain.
Idea penganjuran program tersebut bertitik tolak daripada usaha sama penyelidikan tentang manfaat kesihatan dan terdapat beberapa penemuan kajian berhubung manfaat kesihatan awam dan kepentingan pengguna yang perlu diketengahkan dengan sewajarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Olive Jardin, Muhd. Shakir Assalam Ya berkata, pihaknya kini tiada masalah dalam aspek pengeluaran produk tetapi cabaran utamanya adalah dalam hal mempromosikan produk minyak zaitun di negara ini.
Jelasnya, ini adalah misi syarikat sejak ia mula beroperasi sekali gus mahu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang betapa pentingnya mereka memahami tentang jenis minyak zaitun dengan sebaiknya.
Tambah beliau, bukti daripada kajian yang diperoleh daripada Fakulti Perubatan universiti itu akan dijadikan nilai tambah kepada program pemasaran syarikat seterusnya dapat membantu meningkatkan taraf kesihatan pelanggan bagi jangka panjang seiring dengan pelan penjanaan pendapatan yang baik buat syarikat.
Menurut Muhd. Shakir, lambakan minyak zaitun yang tidak mendapat pengesahan selari dengan piawaian Majlis Zaitun Sedunia (IOC) telah mengelirukan pengguna apabila syarikat menggunakan selebriti, ustaz dan doktor selebriti yang berjaya memesongkan kebenaran serta meletakkan naratif palsu tentang EVOO.
“Pemilihan minyak zaitun yang tepat dan sahih mengenai EVOO bukan bersandarkan jenama dan negara pengeluar.
“Bagi kami di Olive Jardin, kesemua sampel telah dihantar ke makmal di Sepanyol yang menerima akreditasi IOC untuk diuji.
“Lebih menyukarkan lagi isu ini adalah tiadanya akta berhubung minyak zaitun di negara ini yang boleh membantu membanteras masalah penyalahgunaan dakwaan EVOO dan juga yang palsu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sidang kemuncak tersebut di sini baru-baru ini.
Turut hadir Dekan Fakulti Perubatan UniSZA, Prof. Dr. Harmy Mohamed Yusoff.
Muhd Shakir berkata, perkara yang paling mudah untuk mengenali minyak zaitun perahan dara khususnya keluaran syarikat adalah baunya seperti daun inai atau bau rumput yang dipotong pada waktu pagi, malah bau minyak zaitun jenis ini tidak boleh disintetikkan, berbanding minyak zaitun yang palsu, ia berbau tengit yang pastinya akan membuatkan pelanggan berasa mual untuk menelannya.
Tambah beliau, jika minyak zaitun palsu yang tidak mendapat pengesahan kualiti daripada IOC, ia boleh memberi kesan kepada tahap kesihatan pengguna untuk jangka masa panjang.
“Kami berharap melalui program tersebut, pihaknya berharap, ia dapat dijadikan sebagai pemangkin kepada usaha bersepadu daripada semua pihak untuk menambah baik isu kualiti dan manfaat kesihatan minyak zaitun,” ujarnya.
Selain itu, Harmy menerangkan, dalam kajian tersebut, pihaknya telah menggunakan tikus makmal sebagai ujian terhadap keberkesanan EVOO dan ia akan diikuti dengan sesi ujian yang boleh dilaksanakan terhadap manusia pula.
Menurut beliau, pihaknya bersedia untuk melanjutkan kajian tersebut bagi menghasilkan satu hasil yang menyeluruh bagi membantu syarikat mempromosikan produk dengan lebih berkeyakinan dan berkesan.
“Kami tidak mahu syarikat mempromosikan sesuatu produk hanya menggunakan testimoni kerana ia adalah satu bukti yang biasa yang mudah diperoleh di pasaran.
“Tetapi jika ia adalah bukti daripada kajian yang dijalankan oleh pihak universiti maka ia akan memudahkan syarikat menawarkan produk berkualiti kepada pelanggan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE