IPOH – Rata-rata penerima Kad Perak Sejahtera yang menjadi komitmen kerajaan negeri untuk menjamin kesejahteraan rakyat bersyukur kerana ia banyak membantu mereka yang sebahagian besarnya merupakan ketua isi rumah (KIR) miskin tegar, miskin dan golongan B40.
Salah seorang penerima, Fatimah Ali, 56, dari Kampar dekat sini berkata, pendapatannya tidak seberapa kerana hanya bekerja sebagai penoreh getah dengan perolehan sekitar RM140 sebulan.
“Mujur saya menetap di rumah pusaka bersama ibu berusia 81 tahun jadi tidak perlu bimbang mengenai sewa, tetapi perlu menjaga ibu yang terlantar sakit dan perlu menggunakan lampin dewasa.
“Selain itu, saya turut menjaga seorang anak berumur 22 tahun yang menghadapi masalah kesihatan mental, jadi apabila menerima Kad Perak Sejahtera ini ia benar-benar dapat meringankan beban,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kediamannya baru-baru ini.
Fatimah menjelaskan, menerusi kad itu, dia dapat membeli lampin dewasa selain barangan keperluan asas seperti beras, telur, gula, tepung dan lain-lain.
“Saya amat bersyukur kerana insiatif ini benar-benar dapat membantu kerana ia bersifat bulanan, iaitu RM100 setiap bulan. Ia hampir menyamai pendapatan saya sebagai penoreh getah.
“Saya terharu dengan keprihatinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang sentiasa turun padang bagi memastikan kebajikan setiap rakyat menjadi keutamaan,” katanya.
Bagi Rokiah Ahmad, 59, yang menetap di Gopeng dekat sini, setelah terlantar sakit sejak beberapa tahun sebelum ini, Kad Perak Sejahtera menjadi penyelamat buatnya untuk membeli pelbagai keperluan diri terutamanya lampin dewasa.
“Saya menetap di rumah pusaka bersama dua orang abang, seorang kakak dan dua orang cucu saudara. Mereka banyak membantu dengan bekerja bagi menyara kehidupan sekeluarga.
“Menerusi kad ini, saya dapat membeli lampin dewasa khususnya untuk keperluan semasa. Ia benar-benar dapat membantu dan meringankan beban lebih-lebih lagi selepas tidak mampu bekerja sekarang,” katanya.
Saarani pada 22 Februari lalu mengumumkan seramai 19,012 KIR telah menerima manfaat Kad Perak Sejahtera bernilai RM100 sebulan setakat Februari 2025.
Menurut beliau, inisiatif Kerajaan Negeri Perak untuk membantu golongan B40, miskin dan miskin tegar membeli keperluan asas harian itu boleh digunakan oleh penerima di 291 kedai dan pasar raya panel berdaftar di seluruh negeri dengan nilai keseluruhan RM1,200 setahun.
Ini merupakan inisiatif dan komited Saarani untuk membasmi kemiskinan tegar di negeri ini selaras dengan Flagship 6: Membasmi Miskin Tegar 2025 di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.