LISBON – Ketua jurulatih Portugal, Roberto Martinez seolah-olah memberi gambaran tidak bersedia untuk menurunkan legenda pasukan, Cristiano Ronaldo dalam kesebelasan utama menjelang separuh akhir Liga Negara-Negara Eropah (UNL).
Skuad Selecao memburu slot ke perlawanan akhir UNL kali ini, namun laluan mereka tidak mudah apabila perlu berdepan Jerman pada pertemuan yang akan berlangsung di Allianz Arena awal pagi esok.
Martinez berkata, beliau tidak boleh memberikan jaminan kepada mana-mana pemain untuk berada dalam kesebelasan utama, sebaliknya akan menilai kemampuan setiap pemain ketika sesi latihan.
“Sebagai jurulatih, saya perlu membuat keputusan terbaik demi pasukan. Saya rasa semua orang sudah tahu dan pernah lihat apa yang saya lakukan bagi membantu pasukan mencatat kemenangan.

“Saya akan kekal profesional dan setiap keputusan dibuat adalah demi kebaikan pasukan. Apa yang penting, saya bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang dibuat,” kata pengendali dari Sepanyol itu.
Ketika diminta mengulas mengenai masa yang terlalu singkat untuk melakukan persiapan, beliau mengakui tidak terkesan dengan keadaan tersebut selain menganggap pasukan lawan turut berdepan situasi sama.
“Bagi saya, ini perkara biasa untuk tugasan antarabangsa dan pasukan lawan juga berdepan perkara sama. Sekarang kami perlu cuba berikan aksi terbaik kerana sasaran kami adalah untuk memenangi UNL,” ujar Martinez. – AGENSI