PETALING JAYA – Seramai 554 individu ditahan menerusi 422 serbuan Op Soga XI yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras kegiatan pertaruhan sukan tanpa lesen dan perjudian dalam talian sempena Piala Dunia FIFA 2026.
Operasi bersepadu bermula 11 Jun hingga 19 Julai itu turut menyaksikan rampasan wang tunai berjumlah RM167,062.09, selain nilai pertaruhan lebih RM3.2 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M. Kumar berkata, kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada 508 lelaki dan 46 wanita yang disyaki terlibat dalam aktiviti pertaruhan haram serta perjudian dalam talian.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, seramai 341 orang merupakan rakyat tempatan, manakala 213 lagi warga asing.
“Dalam operasi ini juga, sebanyak 263 laman sesawang iaitu laman web, platform, aplikasi dan media sosial dikesan digunakan bagi aktiviti pertaruhan bola sepak dan promosi aktiviti perjudian.
“Justeru, tindakan sekatan laman web dan penurunan kandungan akan dibuat dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama strategik pelbagai agensi berkepentingan terutama MCMC bagi memantau aktiviti promosi dan pengiklanan perjudian melalui laman sesawang serta platform media sosial.
Katanya, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Imigresen 1959/63.
“Siasatan juga akan dijalankan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” ujarnya.
Antara kesalahan yang disiasat termasuk bertaruh di rumah pertaruhan terbuka, menjadi pengutip pertaruhan, menguruskan tempat digunakan sebagai rumah pertaruhan serta menghebah atau mempromosikan aktiviti pertaruhan.
Bagi warga asing pula, siasatan melibatkan kesalahan masuk dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.
“PDRM akan terus mempergiatkan operasi dan tindakan penguatkuasaan secara berterusan serta memperkukuhkan kerjasama strategik dengan agensi-agensi berkepentingan. Orang ramai digesa menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

9 hours ago
7










![[VIDEO] Tikam pelajar: Bunyi orang jerit, wisel ingatkan kebakaran – Saksi](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/WhatsApp-Image-2026-07-06-at-5.15.22-PM.jpeg)





























![[VIDEO] Siapa ‘kait’ seluar dalam orang di Jempol?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-10-at-9.27.15-PM.jpeg)








![[VIDEO] 5 makanan perlu dielakkan di bazar Ramadan, air manis ‘no.1’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-09-at-6.45.16-PM.jpeg)