JPJ tambah baik prosedur pemeriksaan kenderaan mulai esok

1 day ago 8

GOMBAK – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan dua penambahbaikan utama terhadap prosedur pemeriksaan kenderaan bagi memastikan piawaian keselamatan yang lebih ketat.

Penambahbaikan yang akan berkuat kuasa mulai esok itu melibatkan pemeriksaan ketebalan bunga tayar dan kenderaan berat jenis dumper dan tipper dengan melibatkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, semua kenderaan perdagangan (barangan dan perkhidmatan awam) perlu mempunyai ketebalan bunga tayar sekurang-kurangnya 1.6 milimeter (mm) pada keseluruhan permukaan tayar yang bersentuhan dengan jalan.

“Dengan penetapan baharu ini, mana-mana kenderaan perdagangan yang tidak mematuhi ketetapan tersebut adalah tidak lulus terhadap pemeriksaan kenderaan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 di sini, hari ini.

Bagi penambahbaikan kedua, Aedy Fadly berkata, kenderaan jenis dumper dan tipper yang mempunyai pagar sisi (side board) tidak boleh melebihi spesifikasi yang ditetapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan pelan teknikal kenderaan yang diluluskan.

Ujar beliau, bagi pemilik kenderaan dumper atau tipper yang mengangkut muatan khas juga hendaklah mengemukakan surat tawaran kelulusan atau permit semasa menjalani pemeriksaan di Puspakom bagi memastikan jenis badan dan jenis muatan adalah selari dengan kelulusan yang diberikan.

“Langkah memperketatkan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat jenis dumper atau tipper, selaras dengan pelaksanaan kod badan khas bagi kenderaan yang mengangkut muatan khas seperti baja, coal, fly ash, gypsum, habuk kayu, jagung, palm kernel, dan padi.

“Penguatkuasaan ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang penyalahgunaan spesifikasi kenderaan, disamping menjamin aspek keselamatan serta pematuhan terhadap syarat pengendalian muatan khas di jalan raya,” katanya.

Dalam pada itu, Aedy Fadly berkata pemilik kenderaan yang gagal pemeriksaan di Puspakom perlu merujuk kepada APAD bagi pembetulan semula permit selain memohon pengeluaran permit baharu mengikut muatan asal yang ditetapkan.

“Selain itu, pemilik juga boleh membuat pengubahsuaian kembali tinggi side board kepada 762mm dan tiada perubahan pada kod badan dumper atau tipper sedia ada sebelum boleh menjalani pemeriksaan di Puspakom semula.

“Penambahbaikan ini akan meningkatkan tahap keselamatan kenderaan di jalan raya, mengurangkan risiko kemalangan, serta memastikan kepatuhan terhadap peraturan-peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Terdahulu dalam majlis yang berlangsung, seramai 1,200 penerima manfaat bantuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2 (motosikal) daripada golongan B40 khususnya pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi serta belia di Selangor.

Aedy Fadly berkata semua modul latihan dan ujian adalah setara dengan piawaian nasional, mencerminkan komitmen tegas JPJ dalam memastikan setiap penerima MyLesen benar-benar kompeten dan selamat dan bukan sekadar berkelayakan di atas kertas.

“Inisiatif ini adalah bukti bahawa tiada siapa yang harus ketinggalan dalam menikmati hak mobiliti dan peluang pekerjaan terutamanya ekonomi gig.

“Saya penuh yakin, lebih ramai yang dilesenkan secara sah dan terlatih, maka lebih kuatlah daya tahan budaya keselamatan jalan raya negara kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |