HAKIKAT cukup perit perlu ditelan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen apabila kesemua anak buahnya gagal melangkah ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters.
Tiga pemain kebangsaan, Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Ng Tze Yong terpaksa akur tersingkir seawal pusingan pertama pada kejohanan Jelajah Dunia Super 500 itu, sekali gus menjadi tamparan buat skuad perseorangan lelaki negara.
Jonassen berkata, beliau tidak berpuas hati dengan pencapaian ditunjukkan anak-anak buahnya, namun masih ada beberapa petanda positif boleh dilihat dari segi aspek semangat juang dan keberanian.
“Pemain berada di sini untuk memenangi perlawanan kerana mereka sudah menunjukkan semangat juang tinggi. Kejohanan ini juga memberi peluang untuk tahu mengenai pemain lain dan mengenal pasti kekurangan,” katanya.
Tambah pengendali dari Denmark itu, masih ada beberapa aspek perlu diperbaiki dengan kadar segera bagi memastikan pemain-pemain boleh bersaing di pentas antarabangsa secara konsisten.
“Saya suka dengan semangat juang pemain, tetapi fokus utama kita adalah untuk menang dalam perlawanan. Perjalanan karier mereka masih panjang, jadi ia perlu diperbaiki lagi,” ujar Jonassen.
Terdahulu, Jun Hao tewas kepada pemain Ireland, Nhat Nguyen 21-10, 18-21, 9-21, manakala Justin terpaksa akur kecundang 14-21, 20-22 di tangan pilihan kelapan dari Jepun, Kodai Naraoka.
Sementara itu, Tze Yong pula terpaksa menarik diri akibat kecederaan ketika bertemu pemain berpengalaman Hong Kong, Ng Ka Long di kala dia sudah pun memenangi set pertama 22-20 dan sedang mendahului 4-3 di set kedua.
Perseorangan wanita negara, K. Letshanaa turut mengalami nasib sama apabila turut tersingkir di pusingan pertama selepas tewas 21-10, 19-21, 12-21 kepada Han Qian Xi dari China.