Jojo tewas di tangan Ramadan Ondash 

7 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Impian jaguh muay thai sensasi negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar untuk kembali mencipta kemenangan di pentas ONE Championship tidak kesampaian apabila tewas kepada petarung Lubnan, Ramadan Ondash di Stadium Lumpinee, Bangkok, hari ini.

Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo terpaksa akur dengan keputusan ‘split decision’ selepas beraksi sengit selama tiga pusingan dalam pertarungan kategori flyweight Muay Thai itu.

Kedua-dua petarung memulakan aksi dengan tempo tinggi apabila saling berbalas serangan sejak pusingan pertama untuk mencari kemenangan knockout (KO).

Memasuki pusingan kedua, Ramadan tampil lebih agresif dengan meningkatkan tekanan menerusi kombinasi serangan bertali arus, namun Jojo kekal tenang untuk menyerap asakan lawan dan memastikan pertarungan berlanjutan ke pusingan terakhir.

Pada pusingan ketiga, Jojo bangkit melancarkan serangan balas dalam usaha memburu kemenangan, tetapi kedua-dua petarung gagal menghasilkan kemenangan KO sekali gus keputusan terpaksa ditentukan oleh juri.

Walaupun Ramadan dilayangkan kad kuning oleh pengadil pada pusingan terakhir, petarung berusia 19 tahun itu tetap dinobatkan sebagai pemenang selepas memperoleh kelebihan mata keseluruhan.

RAMADAN dilayangkan kad merah ketika berdepan Jojo. -ONE Championship

Kekalahan itu menyaksikan Jojo menempuh musim mencabar apabila merekodkan kekalahan kedua berturut-turut tahun ini selepas tunduk kepada petarung Jepun, Shimon Yoshinari pada April lalu.

Sementara itu, Ramadan mengakui pertarungan menentang Jojo berlangsung sengit, namun menyifatkan kemenangan itu hasil daripada persiapan rapi yang dilakukan selepas pertarungan terdahulu.

“Alhamdulillah untuk segala-galanya kerana saya berlatih dengan gigih untuk perlawanan ini. Terima kasih kepada Malaysia kerana memberikan sokongan kepada saya.

“Saya tahu pertarungan ini sangat sengit, tetapi saya percaya saya menang. Johan adalah saudara saya dan saya menghormatinya. Selepas ini kami boleh makan bersama-sama dan membeli jam Rolex,” katanya.

Ramadan turut mengakui keletihan selepas menjalani latihan tanpa henti selepas pertarungan menentang Suriyanlek Por Yenying pada 29 Mei lalu. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |