PELAKON terkenal Indonesia, Luna Maya mengakui dua tahun lalu dia pernah ‘give up’ dengan perkahwinan dan reda andai ditakdirkan membujang seumur hidupnya.
Namun, pernikahannya pada usia 42 tahun dengan kekasih, Maxime Bouttier, juga seorang pelakon yang 10 tahun lebih muda membuktikan setiap orang mempunyai jodoh.
Perkahwinannya disambut gembira semua peminat di Indonesia dan Malaysia sementelah Luna sendiri melalui banyak episod duka dalam hubungan. Malah, perkahwinan
Luna memberi harapan kepada wanita yang belum bertemu jodoh, termasuklah selebriti tanah air, penyanyi Farahdhiya, 41, yang reda jodohnya lewat asalkan jangan ‘main rembat’ (lelaki).
HibGlam minggu ini menyenaraikan barisan selebriti wanita yang tidak pernah berhenti mencari bahagia dan bertemu jodoh pada usia lewat.
Cameron Diaz
Aktres Cameron Diaz yang terkenal dengan filem Charlie’s Angels pernah mendakwa tidak mahu berkahwin.
Dunianya bagaimanapun berubah apabila bertemu pemain gitar band Good Charlotte, Benji Madden dalam sebuah acara hiburan pada bulan Mei, 2014.
Mereka berkahwin dalam sebuah majlis di Beverly Hills, California, Amerika Syarikat pada Januari 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata, Raddix, 6, dan Cardinal yang baru dilahirkan pada tahun lalu.
Salma Hayek
Bintang Hollywood Salma Hayek terkenal dengan kejelitaan dan kisah cinta dengan ramai lelaki yang terkandas di tengah jalan.
Antara lelaki yang pernah menjadi kekasihnya adalah aktor Britain, Edward Atterton, kemudian beralih kepada aktor Amerika, Edward Norton dan Josh Lucas.
Salma bahkan pernah digosip menjalinkan hubungan dengan aktor Colin Farrell ketika sama-sama membintangi filem Ask the Dusk.
Salma akhirnya menamatkan zaman bujang pada usia 42 tahun dengan mengahwini jutawan Perancis, Francois- Henri Pinault pada 2009 di Perancis. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan.
Son Ye Jin
PERCINTAAN aktres Son Ye Jin dan aktor terkenal, Hyun Bin ibarat sebuah kisah dongeng. Pasangan itu mula menyemai cinta ketika membintangi drama fenomena, Crash Landing On You.
Mereka mengumumkan pertunangan pada 10 Februari 2022 menerusi akaun media sosial masing-masing. Son Ye Jin berkahwin ketika berusia 42 tahun pada Mac 2022 dan melahirkan anak lelaki pada November tahun yang sama.
Choi Ji-woo
Aktres yang terkenal dengan drama Winter Sonata, Choi Ji-woo berkahwin pada usia 43 tahun dengan lelaki yang berusia sembilan tahun lebih muda daripadanya pada 29 Mac 2018.
Ji-woo hanya mengumumkan perkahwinannya lewat surat tulisan tangan yang dimuat naik dalam akaun media sosialnya.
Kini, Ji-woo bahagia bersama keluarga kecil termasuk seorang anak perempuan yang lahir pada Mei 2020. Namun, Ji-woo sangat menjaga privasi apabila sehingga kini tidak mendedahkan wajah suaminya kepada umum.
Jang Nara
Aktres popular Korea Selatan Jang Nara menamatkan zaman bujangnya pada usia 41 tahun dalam sebuah majlis perkahwinan tertutup di Seoul pada 2022.
Aktres itu memilih lelaki bukan selebriti sebagai suami dan cukup menjaga privasi kehidupan keluarganya.