FESTIVAL Filem Cannes 2025 telah berlangsung dengan jayanya dan melakar banyak memori manis.
Seperti biasa, festival yang dihadiri penggiat seni dari seluruh dunia itu pasti menjadi sorotan ramai terutama penampilan penuh bergaya bintang-bintang ternama termasuk industri perfileman Bollywood.
Lebih menarik, kali ini ramai selebriti Bollywood dilihat menghadiri acara berprestij tersebut termasuk wajah-wajah baharu.
HibGlam minggu ini membaris lima jelitawan terkenal Bollywood yang mencuri tumpuan ramai di Festival Filem Cannes 2025.
Janhvi Kapoor
INI merupakan penampilan pertama anak kepada mendiang Sri Devi di Festival Filem Cannes.
Kemunculan sulung Janhvi mendapat pujian ramai kerana dia dilihat berjaya memilih busana yang tepat untuk setiap acara yang dihadirinya.
Pada acara karpet merah pertama sempena tayangan filem lakonannya, Homebound, Janhvi tampil memukau dalam busana berwarna merah jambu cair rekaan Tarun Tahiliani.
Dalam acara lain pula dia anggun menggayakan gaun hitam vintaj rekaan Yves Saint Laurent.
Aditi Rao Hydari
TAHUN ini bukan kali pertama Aditi melangkah penuh bergaya di karpet merah Festival Filem Cannes. Sudah beberapa tahun Aditi menghadiri festival ini kerana dia merupakan salah seorang duta jenama kosmetik L’Oreal Paris.
Dalam acara kali ini Aditi kelihatan lebih relaks berbanding tahun-tahun sebelumnya. Mungkin kerana mematuhi garis panduan pemakaian yang ditetapkan tahun ini.
Bagi penampilan pertama Aditi memilih menggayakan busana potongan kemban berwarna hitam rekaan Rahul Mishra.
Pada acara berikutnya pula Aditi dilihat memakai busana tradisional sari berwarna merah polos daripada Raw Mango lengkap dengan hiasan sindoor di dahi. Memang menawan!
Alia Bhatt
Biarpun pada mulanya dia dikatakan membatalkan penampilan sulungnya di Festival Filem Cannes 2025, Alia telah membuat kejutan apabila menghadiri acara penutup festival itu.
Pada acara pertamanya di karpet merah, Alia tampil anggun dengan busana rekaan Schiaparelli.
Pada acara seterusnya Alia menyarung busana glamor berwarna biru gelap rekaan Armani Preve.
Namun gayanya yang paling mencuri tumpuan adalah sewaktu majlis penutup festival tatkala dia menyarung sari yang direka khas oleh Gucci bertatahkan kristal. Itu adalah Sari pertama yang direka Gucci khas buat Alia yang merupakan duta jenama mewah asal Itali itu.
Aishwarya Rai
Dia adalah ratu Festival Filem Cannes. Sejak kali pertama menjejakkan kaki ke festival tersebut pada 2002, Aishwarya terus menjadi wajah tetap untuk acara itu sehinggalah hari ini.
Dia hadir atas tiket duta jenama kosmetik L’Oreal Paris yang merupakan penaja rasmi festival berkenaan.
Tidak seperti tahun lalu, penampilan Aishwarya kali ini meraih pujian ramai. Menerusi penampilan pertama, isteri kepada aktor Abhishek Bachchan itu menggayakan persalinan tradisional iaitu sari rona putih gading yang dipadankan dengan aksesori mewah rekaan Manish Malhotra serta Sindoor merah di dahi.
Penampilan tersebut dikatakan tribute Aishwarya untuk Operasi Sindoor baru-baru ini.
Manakala untuk penampilan kedua pula, Aishwarya sekali lagi tampil memukau apabila menggayakan guan hitam yang dipadankan dengan selendang bersaiz besar rekaan Ghaurav Ghupta.