JOHOR BAHRU – Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek menggesa agar ahli PKR diminta menjaga nama baik parti dan tidak terjebak dengan budaya politik ‘dikir barat’, yang hanya mengikut arahan tanpa berfikir.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata, budaya politik ‘dikir barat’ boleh mencetuskan perpecahan apabila suara yang membawa mesej berlainan daripada majoriti tidak diraikan.
“Budaya politik sebegitu hanya akan membawa perbezaan lebih luas dengan parti tidak dapat diperkukuhkan dengan sepenuhnya.
“Sebab itu kita (PKR) tak amalkan politik dikir barat, bila tukang karut berkata-kata semua akan ikut. Tetapi jika ada ahli yang mengubah seni kata lain, tersingkirlah dia dari kumpulan itu,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan di Kongres Nasional PKR 2025, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.
Hadir sama mendengar sesi penggulungan adalah Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar.
Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan berkata, seluruh cabang parti perlu mempunya fikrah yang jelas bagi mendukung kepimpinan parti.
Katanya, beliau mahu melihat PKR terus kuat untuk persiapan masa hadapan di peringkat kerajaan termasuk bagi berhadapan pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Saya bimbang jika akar umbi terus terpengaruh dengan kata-kata reformasi dan terus melakukan tindakan tidak selari dengan kepimpinan, ia sekali gus gagal memahami mesej sebenar kepimpinan tertinggi parti.
“Saya juga bimbang ada satu masa bila kita tidak betul-betul ‘solid’ (sebagai satu parti) atas prinsip dan tak faham arah tuju perjuangan, rakyat akhirnya akan pertikaikan kita,” katanya.-KOSMO! ONLINE