PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan bahawa kebajikan 54 pelajar Malaysia di Universiti Harvard kekal terpelihara, susulan tindakan mengejut kerajaan Amerika Syarikat (AS) membatalkan pensijilan Program Pelajar dan Pertukaran Pelawat (SEVP) universiti berprestij itu pada 22 Mei lalu.
KPT dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memantau rapat perkembangan isu berkenaan menerusi Pejabat Education Malaysia Washington D.C. (EMWDC) dan telah mengadakan perbincangan dengan pihak penaja serta pihak berkuasa pendidikan di AS.
Kata kenyataan itu, setakat ini seramai 16 pelajar tajaan dan 38 pelajar pembiayaan sendiri sedang mengikuti pengajian di Universiti Harvard dan tiada sebarang masalah berkaitan status visa atau rekod Sistem Pelajar dan Pertukaran Pelawat (SEVIS) dilaporkan berlaku.
“Keputusan Mahkamah Persekutuan AS yang mengekalkan Perintah Tahanan Sementara (TRO) yang difailkan oleh pihak Universiti Harvard memberikan kelegaan kepada lebih 6,800 pelajar antarabangsa, termasuk dari Malaysia.
“Keputusan ini membolehkan pelajar antarabangsa termasuk pelajar Malaysia meneruskan pengajian mereka tanpa gangguan kepada status visa buat masa ini,” kata kenyataan itu hari ini.
Pada masa sama, pelajar juga diingatkan untuk sentiasa mengemas kini maklumat berkaitan Latihan Praktikal Pilihan (OPT) mereka dan lebih berhati-hati dalam menguruskan urusan imigresen bagi mengelak sebarang masalah yang boleh menjejaskan rekod dalam SEVIS.
“Bagi pelajar baharu yang akan melanjutkan pengajian ke Universiti Harvard pada kemasukan September 2025, KPT menyarankan agar mereka berhubung secara langsung dengan pihak universiti dan penaja masing-masing untuk mendapatkan perkembangan terkini sebelum membuat sebarang keputusan lanjut,” jelas kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE