Isu Myanmar: Konsensus Lima Perkara kekal jadi rujukan utama

1 day ago 11

KUALA LUMPUR – ASEAN memberi penegasan bahawa Konsensus Lima Perkara kekal menjadi rujukan utama dalam menangani krisis politik di Myanmar dan ia perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi membantu rakyat negara itu mencapai penyelesaian damai secara lebih inklusif.

Penegasan itu dibuat pemimpin blok ASEAN menerusi satu kenyataan bersama hari ini yang turut menegaskan blok itu komited membantu Myanmar mencari penyelesaian aman dan kekal terhadap krisis berkenaan.

Kata kenyataan bersama itu, ASEAN menggesa semua pihak segera menghentikan sebarang tindakan keganasan terhadap orang awam dan kemudahan awam di Myanmar.

“Kami mendesak mereka mengambil tindakan konkrit bagi menghentikan keganasan, menolak sebarang bentuk eskalasi konflik, menunjukkan kawalan diri maksimum serta memastikan perlindungan serta keselamatan orang awam.

“Sehubungan itu, kami menghargai pengisytiharan tiga kali gencatan senjata sementara secara berturut-turut oleh pihak berkuasa di Myanmar serta pengisytiharan gencatan senjata secara unilateral oleh pihak berkepentingan lain,” katanya.

Pada masa sama, kenyataan itu turut menggesa agar gencatan senjata diperluaskan secara menyeluruh dan berterusan di seluruh Myanmar sebagai langkah awal ke arah penghentian keganasan.

Katanya, ia dengan matlamat mewujudkan persekitaran selamat dan kondusif bagi memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan dilaksanakan selain membolehkan dialog nasional yang inklusif selaras dengan Konsensus Lima Perkara.

“Kami menggesa semua pihak berkepentingan agar memastikan bantuan kemanusiaan ASEAN disampaikan secara selamat, tepat pada masanya, berkesan dan telus tanpa diskriminasi.

“Ia dibuat berdasarkan Laporan Penilaian Keperluan Segera ASEAN-ERAT dan Penilaian Bersama oleh Pusat AHA dengan sokongan berterusan daripada pihak berkepentingan di Myanmar termasuk melalui usaha rentas sempadan sekiranya perlu,” katanya.

Selain itu, ASEAN turut menggalakkan semua pihak berkepentingan di Myanmar mengadakan dialog nasional yang inklusif dengan terus berhubung dengan semua pihak berkaitan secara berterusan untuk mencari penyelesaian damai.

“Kami mengulangi sokongan berterusan terhadap usaha Pengerusi ASEAN termasuk menerusi duta khas dalam pelaksanaan penuh Konsensus Lima Perkara dengan tujuan utama memulihkan keamanan, kestabilan dan demokrasi menerusi penyelesaian politik.

“Kami juga menghargai sokongan berterusan masyarakat antarabangsa khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap pelaksanaan Konsensus Lima Perkara oleh ASEAN kerana ia sangat penting dalam membantu rakyat Myanmar mencapai penyelesaian damai menerusi dialog nasional,” jelas kenyataan bersama itu.

ASEAN turut menyatakan komitmen untuk mempertingkatkan kerjasama bagi usaha menyokong blok serantau menangani krisis di Myanmar termasuk isu peningkatan jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dadah, pemerdagangan orang dan penipuan dalam talian. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |