Isu kelulusan lesen mineral Sabah: Kes ditutup, tiada isu salah guna kuasa

1 week ago 13

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memutuskan tiada kes jenayah, rasuah atau salah guna kuasa dikesan berhubung isu dakwaan kelulusan lesen cari gali arang batu di Sabah membabitkan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya telah selesai menjalankan siasatan dan mendapati tiada unsur rasuah dan salah guna kuasa dikesan dalam isu berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya telah memanggil semua yang terlibat bagi merekod keterangan termasuk daripada Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), kerajaan negeri dan mereka yang dikatakan terlibat.

“Timbalan pendakwa raya membuat keputusan bahawa tiada kes jenayah yang boleh dikenakan kepada mana-mana pihak iaitu sama ada di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 atau Kanun Keseksaan.

“Tiada isu salah guna kuasa yang terlibat di sini (dalam kes ini) maka, kes ini telah pun ditutup,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, siasatan mendapati, tiada sebarang permohonan tanah dikemukakan oleh syarikat berkaitan sebaliknya ia hanya melibatkan permohonan eksplorasi mineral kepada SMM.

Azam berkata, perkara itu penting difahami kerana permohonan berkenaan bukan dikemukakan kepada Kerajaan Negeri Sabah atau Exco Sabah sebaliknya hanya kepada SMM.

“SMM sebelum ini telah memberikan kebenaran bersyarat kepada syarikat terbabit pada Mac 2023 untuk menjalankan eksplorasi, namun syarat utama mewajibkan syarikat berkenaan menyerahkan beberapa dokumen penting terlebih dahulu.

“Bagaimanapun, syarikat berkenaan gagal mengemukakan dokumen yang ditetapkan, sekali gus menyebabkan permohonan itu dibatalkan pada 21 Mac 2025.

“Dengan pembatalan tersebut, tiada sebarang aktiviti eksplorasi dijalankan di kawasan terbabit kerana syarat dokumentasi tidak dipenuhi oleh syarikat berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa SPRM memulakan siasatan terhadap Farhash.

Gesaan itu dibuat susulan terdapat dakwaan sebuah syarikat dikaitkan Farhash telah menerima perolehan kelulusan lesen cari gali arang batu seluas 70,000 hektar di Sabah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |