TEHRAN – Parlimen Iran meluluskan cadangan menutup Selat Hormuz kepada lalu lintas perkapalan susulan serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas tiga kemudahan nuklear miliknya kelmarin, demikian menurut seorang ahli Parlimen kanan seperti laporan agensi berita Anadolu.
“Parlimen mencapai persetujuan bahawa Selat Hormuz perlu ditutup,” kata anggota Suruhanjaya Keselamatan Negara Parlimen, Mejar Jeneral Esmaeil Kowsari dalam kenyataan disiarkan oleh stesen penyiaran Press TV.
Selat Hormuz dianggap sebagai pintu masuk paling penting di dunia untuk pengangkutan minyak.
“Keputusan muktamad dalam hal ini bagaimanapun terletak kepada Majlis Keselamatan Negara Tertinggi,” tambah Kowsari.
Selat Hormuz yang memisahkan Iran dan Oman, merupakan pintu masuk penting untuk penghantaran petroleum dari negara-negara Teluk Parsi.
Ia menghubungkan Teluk Parsi ke laut terbuka dan merupakan saluran utama untuk eksport minyak serta gas asli cecair dari Asia Barat ke pasaran global.
Kira-kira 30 peratus daripada penghantaran minyak laut global melalui laluan sempit itu, menyebabkan ia menjadi kebimbangan yang semakin meningkat di tengah-tengah peningkatan ketegangan serantau.
Keputusan itu dibuat selepas Presiden AS, Donald Trump mengumumkan awal kelmarin bahawa tenteranya mengebom tiga tapak nuklear Iran di Fordow, Natanz dan Isfahan.
Kini, seluruh dunia tertumpu kepada tindakan seterusnya Iran ketika Menteri Luarnya, Abbas Araghchi berkata, Tehran mempunyai beberapa pilihan cara untuk bertindak balas terhadap serangan Washington, lapor saluran berita CNN.
Daripada menyerang pangkalan AS di rantau itu, hingga kebarangkalian menutup Selat Hormuz kepada perkapalan global, Iran berkemungkinan mempertimbangkan langkah seterusnya.
Penganalisis politik dan hal ehwal global CNN, Barak Ravid berkata, Iran mempunyai kuasa untuk mempengaruhi keseluruhan perkapalan komersial di rantau Teluk sekiranya ia menutup Selat Hormuz.
Katanya, setakat ini tiada gangguan material terhadap aliran minyak global. Namun, sekiranya eksport minyak terganggu atau jika Iran cuba menyekat Selat Hormuz, pasaran minyak global boleh menghadapi krisis eksistensi.